Khamis, Julai 17

Wahai Syabab...

Oleh: Ukhti in Islam


WAHAI SYABAB...




Pembangun ummah...
Usah mengundur ke belakang,
Tolehlah sesekali mengambil pengajaran,
Teruskan langkahmu...
Maju ke hadapan...
Anak bangsamu perlukan bimbingan...
Lupakan segala kesamaran..
Pulanglah pada hakikat
seorang INSAN bergelar PEJUANG...
Gagah berani...
Seteguh tembok Salahuddin al-Ayubi...
Megah membangun...
Bak istana Romawi dan Byzantin...
Sekukuh itulah tembok penghalang minda...
Kabur diliputi taasub berjelaga...
Terobosilah kejahilan... wahai syabab...
dengan CAHAYA kebenaran...
Langkahlah dengan penuh keBERANIan wahai syabab...
Membawa jiwa sarat impian...
Kedatanganmu amat dinanti-nantikan...
Menghambat kemunduran...
Menghapus kegelapan...
Bersama terang cahaya IMAN...
Aduhai syabab pewaris ummah...
Janganlah berlengah..
Janganlah membuang masa....
Bangunlah... bangunlah wahai pemuda...
Bangunlah wahai Salahuddin...
Bangunlah wahai Khalid al-Walid...
Bangunlah...
Teguhkan ISLAM di mata-mata manusia...
Yang kian terhakis
Akibat kerakusan mereka...
Mengejar bangkai dunia....
Yang tiada gunanya...

Rabu, Jun 18

Kemajuan dan Ketamadunan Diri

Oleh: Ahmad Ilman

Ketamadunan merupakan salah satu ciri istimewa yang dikurniakan kepada manusia yang membezakannya dengan sekalian makhluk yang lain. Perkataan tamadun itu diertikan serta ditafsirkan dengan berbagai-bagai makna yang berbeza. Menurut Barat yang mendefinisikan tamadun dari sudut materialistik mereka, satu masyarakat itu dianggap sebagai bertamadun apabila masyarakat tersebut mencapai kemajuan dari aspek fizikal seperti kemajuan peradaban, ekonomi, pembandaran (urbanisasi) dan sebagainya. Dalam Islam pula, konsep tamadun difokuskan kepada kemajuan aspek spiritual dan moral sesuatu masyarakat di mana kedua-dua aspek ini (spiritual dan moral) akan membuahkan kemajuan dari aspek fizikal. Nah, Islam merupakan ad-Din yang syumul yang menekankan kemajuan dari segenap aspek peradaban manusia.

Sebelum kita meneruskan perbicaraan, mari kita lihat sejenak apakah yang kononnya dikatakan negara "maju/bertamadun" itu. Mari kita ambil Amerika Syarikat, misalnya. Negara tersebut kelihatan amat maju, bertamadun dan moden. Bangunan pencakar langit boleh didapati di mana-mana sahaja. Kemajuan teknologinya kelihatan amat canggih dan tiada tandingan. Itu adalah pada luarannya. Mari kita bedah statistik jenayah negara yang dikatakan "maju" ini -- secara puratanya satu pembunuhan berlaku setiap 32 saat di AS, satu kes rogol setiap 5.6 saat, dan satu kes rompak setiap 1.3 saat. Di Jepun yang merupakan negara Asia yang paling maju teknologinya pula, kadar bunuh diri ialah 30, 000 orang setahun dan masih meningkat. Sekarang sudah tampak jelas: kemajuan fizikal semata-mata tidak cukup untuk mengukur tamadun manusia. Manusia memerlukan kemajuan dari aspek lain untuk mengimbangi semua modenisasi dan globalisasi dewasa ini.


Apakah erti tamadun yang sebenarnya? Tamadun ialah kemajuan yang seimbang dari aspek spiritual dan material, dengan penekanan diberikan kepada aspek spiritual. Kemajuan spiritual ialah asas bagi tamadun kerana kemajuan material bercambah daripada kemantapan iman. Ini telah dibuktikan oleh para cendekiawan Islam dahulu seperti Ibn Khaldun, al-Khawarizmi, Ibn Sina, Ibn Haitham, dan banyak lagi. Iman ialah lambang jati diri seseorang dan merupakan pendorong untuk manusia sentiasa memajukan diri menjadi insan yang lebih baik. Dikatakan bahawa sekiranya kita tidak tahu dari mana kita datang, kita tidak akan tahu ke mana kita sedang menuju. Dengan iman, kita akan kenal siapakah Pencipta kita. Kita akan tahu untuk apakah kita diciptakan. Dan kita akan tahu kepada siapa kita akan dikembalikan. Dengan iman, kita ada matlamat. Dengan matlamat, kita tidak akan sesat.


Untuk menjadi masyarakat yang terbaik, kita seharusnya berpegang teguh dengan tali iman yang dipegang oleh masyarakat yang terbaik di dunia -- dan masyarakat terbaik yang pernah dibangkitkan daripada kalangan manusia ialah Ummah Islam yang sebenarnya. Allah SWT berfirman dalam Surah Ali Imran ayat 110: "Kamu ialah umat yang terbaik yang dibangkitkan untuk kebaikan manusia, kamu mengajak kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran dan kamu beriman kepada Allah." Allah SWT telah menyatakan dengan jelasnya dalam ayat tersebut apakah ciri-ciri umat yang terbaik ini. Ciri-ciri ini telah dimanifestasikan dalam kehidupan para sahabat Rasulullah SAW yang ditarbiah oleh baginda sendiri sehingga menjadi "generasi al-Quran yang unik." Oleh itu, kita perlu mengambil contoh daripada kekuatan iman serta komitmen para sahabat dalam menjalankan amar makruf nahi mungkar untuk menjadi umat yang terbaik.


Marilah kita mengalihkan fokus kita kepada kemajuan dan ketamadunan diri. Individu merupakan komponen terkecil, pada masa yang sama komponen terpenting dalam sesebuah masyarakat. Individu yang terbaik pula ialah individu yang beriman dengan Allah SWT, mengajak manusia kepada kebaikan dan mencegah manusia daripada melakukan kemungkaran. Keimanan kepada Allah SWT merupakan asas bagi setiap perubahan positif yang Islamik. Mengajak kepada kebaikan (amar makruf) dan mencegah kemungkaran (nahi mungkar) pula dikategorikan sebagai amal salih dalam Islam. Kedua-dua perkara ini, yakni iman dan amal salih merupakan asas kepada kemajuan individu yang seterusnya. Sebagaimana yang kita maklum, frasa "mereka yang beriman dan beramal salih" sentiasa diulang-ulang dalam al-Quran menunjukkan prioritinya dalam membentuk individu-individu yang berjaya di dunia dan di akhirat.

Kita seharusnya menghentikan tabiat-tabiat yang tidak produktif seperti terlampau relaks, suka melepak, mengabaikan tanggungjawab dan sebagainya kerana tabiat-tabiat tersebut bukanlah sifat-sifat seorang Muslim yang ideal. Kita hendaklah mewujudkan budaya cinta akan ilmu pengetahuan. Rasulullah SAW ada bersabda: "Jadilah kamu orang berilmu, atau orang yang menuntut ilmu, atau orang yang mendengar ilmu, atau orang yang mencintai ilmu, dan janganlah kamu jadi orang yang kelima, nescaya kamu akan binasa." Ilmu juga meningkatkan martabat manusia di sisi Allah sepertimana yang telah tercatat dalam Surah al-Mujadalah ayat 11: "Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu serta orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan dengan beberapa darjat." Seorang Muslim sejati berpegang kepada satu prinsipyang menarik iaitu hari ini lebih baik daripada semalam dan esok lebih baik daripada hari ini. Seorang Muslim sejati memajukan serta meningkatkan dirinya selari dengan peredaran zaman.


Ketahuilah, setiap insan mempunyai potensi untuk berjaya. Sesungguhnya Allah itu Maha Adil. Kita cuma perlu meneroka dalam bidang apa kita boleh berjaya -- boleh jadi dalam bidang akademik, sukan, penulisan, pertanian, dll -- tetapi bidang tersebut mestilah bidang yang boleh memanfaatkan Islam. Untuk berjaya, kita perlu akan usaha dan pengorbanan. Allah SWT telah berfirman dalam Surah ar-Ra'd ayat 11: "Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum sehinggalah mereka mengubah nasib mereka sendiri." Oleh sebab itu, kita tidak seharusnya hanya melepak dan membuang masa. Sesungguhnya tanggungjawab yang kita pikul jauh lebih banyak daripada masa yang kita ada. Marilah kita mengubah diri kita, bermula sekarang!


Hayya alal Falah!

Jumaat, Mei 30

Fikruttaqwa Mei


Assalamualaikum WBT.


Pertama sekali saya ingin memohon maaf atas keterlewatan memuat naik Fikruttaqwa Mac Versi Cetakan. Sekarang semua bahan yang boleh dimuat naik telah dimuat naik, alhamdulillah. Anda boleh mengklik ruangan "Fikruttaqwa Mac" untuk memaparkan pos-pos FaTa Mac sahaja.


Disebabkan ramai yang masih tidak mengetahui, saya ingin mengumumkan bahawa Fikruttaqwa Mei Versi Cetakan telah pun berada dalam pasaran. Buletin kami yang mempunyai 20 muka surat ini dimuatkan dengan berbagai-bagai ruangan eksklusif berkaitan peperiksaan seperti doa-doa, petua belajar, serta ruangan temu ramah yang eksklusif. Diharapkan warga SMiK boleh menyediakan wang sebanyak RM 1.50 selepas cuti untuk mendapatkan senaskhah (atau lebih) daripada ejen pemasaran kami.


Barakallah fikum. Wasalam.


Laporan BBM

Oleh: Syed Syaffiq


Pada Januari 2008, AJK-AJK tertinggi Persatuan Bahasa Melayu (PBM) telah mengadakan mesyuarat tentang Bulan Bahasa Melayu (BBM) yang akan berlangsung pada 11 Februari-17 Mac 2008. Mesyuarat tersebut dihadiri oleh pengerusi persatuan (Nur Muhammad Muhsin Mahmud), setiausaha, bendahari, serta AJK-AJK kelas PBM putera dan puteri. Hasil daripada mesyuarat tersebut, maka berlangsunglah dengan jayanya Bulan Bahasa Melayu 2008. Projek ini dinasihati oleh guru penasihat PBM, dan dinaungi oleh Tuan Pengetua SMiK, Ustaz Yazib bin Noh.


Antara aktiviti-aktiviti yang dilakukan oleh PBM dalam BBM ialah pidato, Bahas Ala Parlimen, drama, kuiz kosa kata, teka silang kata, wajar bahasa, dan susun perkataan telah berjaya dilakukan dengan berjaya sekali dengan bantuan AJK-AJK Persatuan Bahasa Melayu.


Ahli-ahli yang terlibat dalam menjayakan Bulan Bahasa Melayu ialah Nur Muhammad Muhsin Mahmud, Syed Syaffiq Taqiuddin, Nuruddin, Syed Hassan Humaidi, Ibrahim, Faruq, Luqman Syukri, Salam, Mughirah, AJK-AJK PBM puteri dan semuanya merangkap AJK-AJK tertinggi Persatuan Bahasa Melayu 2008.


Pada 17 Mac 2008, Isnin, penutup Bulan Bahasa Melayu telah berjalan dengan lancar sekali dan pada keseluruhannya para pemenang berpuas hati dengan hadiah dan hasil usaha kerja mereka.


Akhir kalam, pihak pengurusan Bulan Bahasa Melayu memohon maaf diatas segala kesilapan yang berlaku sepanjang Bulan Bahasa Melayu berlangsung. Sesungguhnya, manusia hanya merancang tetapi Allah s.w.t yang berkuasa menetukan segala-galanya.


Yang benar,


(SYED SYAFFIQ TAQIUDDIN BIN SYED MUSTAFA)
Setiausaha,
Persatuan Bahasa Melayu,
Sekolah Menengah Ibn Khaldun.

Sukan Tahunan 2008

Peluang Kuat Jasmani, Erat Ukhuwah


Oleh: Muhammad Thaqif


SMIK-Sukan Tahunan merupakan salah satu aktiviti mesti dalam sesebuah sekolah. Sekolah Menengah Ibn Khaldun telah memilih tarikh bermula 11 Februari hingga 6 Mac sebagaimana yang tercatat dalam takwimnya sebagai tempoh bagi sekolah ini beriadhah.


Seperti tahun-tahun yang lepas, acara sukan yang dipertandingkan adalah tiga acara khusus dan satu acara umum sahaja, samada putera mahupun puteri. Bagi pelajar putera mereka akan beradu tenaga bagi acara bola tampar, sepak takraw dan futsal. Manakala pelajar puteri pula akan bertanding bagi permainan 'rounders', badminton dan bola jaring. Acara umum yang dianjurkan pula adalah merentas desa mengikut kategori.


Pelajar tahap pertama putera akan berlumba sejauh 2 kilometer sahaja dan pelajar tahap kedua putera akan berlumba untuk jarak sejauh 4 kilometer. Manakala pelajar puteri kedua-dua tahap berlumba untuk jarak yang sama iaitu 2 kilometer.


Perjalanan Sukan Tahunan kali ini agak berlainan kerana tempoh bermain antara dua tahap dipecahkan di mana tahap pertama akan bermain dahulu pada minggu pertama dan diikuti tahap kedua untuk minggu berikutnya.


Seperti biasa rumah sukan untuk putera terdiri daripada kumpulan Abdul Rahman al-Fateh, Muhallab Abi Safrah dan Tariq Ziad. Rumah sukan bagi puteri pula ialah Ummu Salamah, Khansa' dan Nusaibah.


Majlis Penutup Sukan Tahunan 2008 ini telah diadakan secara gilang-gemilang pada 6 Mac 2008 bersamaan hari Khamis yang lalu dengan usaha gigih beberapa pelajar dan guru bertugas.


Keputusan akhir telah diumumkan pada majlis tersebut dengan mencatatkan kumpulan Muhallab Abi Safrah yang pertama, Tariq Ziad di tempat kedua dan diikuti Abdul Rahman ditempat ketiga bagi rumah sukan putera manakala Khansa' ditempat pertama, Nusaibah menggondol tempat kedua dan Ummu Salamah ditempat ketiga bagi rumah sukan puteri.

Terokai Angkasa

MISA Beri Peluang Luas kepada Pelajar


Oleh: Muhammad Thaqif


PUTRAJAYA-Lebih kurang 80 orang pelajar daripada Sekolah Menengah Ibn Khaldun beserta 4 orang guru pengiring telah mengikuti lawatan ke Malaysia International Space Adventure (MISA) pada 24 Februari lepas. Para peserta pula terdiri dari pelbagai tingkatan bermula dari Tingkatan Satu (1) hingga ke Tingkatan Lima (5).


Lawatan anjuran Tingkatan Tiga (3) Fathonah ini merupakan antara anjuran yang berjaya disamping penyertaan daripada kalangan pelajar yang ramai. Setiap pelajar pula dikenakan bayaran yuran sebanyak RM40 seorang yang mencakupi semua perbelanjaan mereka.


Lawatan ini memberi banyak pendedahan kepada para pelajar mengenai sejarah penerokaan angkasa lepas beserta perincian projek-projek yang dijalankan oleh Rusia dan pihak NASA. Malah pelbagai aktiviti menarik juga dialami oleh setiap peserta yang mengikuti lawatan sambil belajar ini. Mereka berpeluang merasai pengalaman mengendali kereta di luar angkasa, menghayati teater 4D serta simulasi enjin roket.


Peserta-peserta amat berharap supaya lawatan seumpama ini dapat dianjurkan lagi di lain masa.

Politik dalam Sejarah Islam

Oleh: Muhammad Thaqif


Dalam lingkungan waktu ini pasti masih hangat kedengaran isu-isu politik dimana-mana sahaja untuk diperbincangkan baik di media massa mahupun di kedai-kedai kopi. Dan kita boleh melihat sendiri kuasa yang sedang mendominasi dunia kita kini menggunakan sistem yang tidak berlandaskan sistem Islam, yakni al-Quran dan as-Sunnah. Oleh itu, untuk melihat kepada sistem politik berlandaskan al-Quran dan as-Sunnah, kita memutar masa kita sebentar melihat pentadbiran dalam sejarah Islam yang menggunakan politik berlandaskan hukum yang Allah telah tetapkan.


Fakta Kompak akan mengutarakan kepada sidang pembaca sekalian mengenai perjalanan politik semasa pemerintahan Khulafa'ur Rasyidin. Kemungkinan fakta yang kami akan bawakan kali ini bersamaan dengan silibus pelajaran yang akan dipelajari oleh pelajar Tingkatan 4, tetapi kebaikannya boleh diambil oleh semua.


Konsep Islam menunjukkan politik adalah satu daripada aspek kehidupan umat Islam. Politik negara merupakan keperluan bagi umat Islam kerana kewujudan negara atau pemerintahan sebagai induk untuk melaksanakan syariat Allah. Syariat Allah seperti ibadah, muamalah dan undang-undang jenayah tidak dapat dilaksanakan kecuali adanya satu sistem pemerintahan negara yang merdeka dan berdaulat.


Kestabilan politik dan sosial sangat penting bagi sesebuah negara kerana in akan membantu ke arah pencapaian kemajuan dan kewibawaan negara. Antara peranan yang penting untuk dilaksanakan oleh pemimpin dan sebagai satu kemestian ialah:



  • Melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan dengan gigih dan jujur. Setiap tugas yang dilakukan adalah bertujuan berkhidmat kepada masyarakat dan mendapat keredhaan Allah.

  • Setiap tugas yang dijalankan pasti sampai kepada sasarannya dan menghasilkan natijah yang baik kepada rakyat.


Pada zaman Khulafa'ur Rasyidin, pemimpin dilantik melalui sistem Syura. Kaedah ini bersesuaian dengan firman Allah SWT yang bermaksud:


"Dan juga (lebih baik) orang yang menyahut perintah Tuhan serta mendirikan solat dengan sempurna, dan urusan mereka dijalankan secara bermesyuarat sesama mereka dan mereka mula mendermakan sebahagian daripada apa yang Kami berikan padanya."


(Surah asy-Syura,42:38)


Semasa zaman Khulafa'ur Rasyidin, perlantikan pemimpin dilakukan melaluyi sistem al-Imamah/الإمامة (al-Warithah/الوارثة). Melalui sistem ini bakal pemimpin telah ditetapkan oleh pemimpin sebelumnya dengan tidak merujuk kepada persetujuan orang ramai.


Sistem pemerintahan Khulafa'ur Rasyidin yang berteraskan al-Quran dan as-Sunnah membawa kemajuan dan perubahan yang menjadikan negara Islam disegani oleh negara-negara luar. Kerajaan Khulafa'ur Rasyidin yang ditadbir oleh khalifah yang bijak dan cekap telah berjaya membawa kemajuan dan kestabilan politik dan mengekalkan keamanan. Kerajaan Khulafa'ur Rasyidin mendapat sokongan padu daripada kalangan rakyat. Suasana ini menjadikan rakyat hidup aman dan pembangunan rakyat dan negara terus berjalan dengan baik.


Malah, dengan menggunakan sistem politik yang berteraskan al-Quran dan as-Sunnah ini dapat diluaskan pentadbiran Khulafa'ur Rasyidin ke serata dunia hingga meliputi 1/3 planet Bumi ini sepertimana yang telah dibuktikan oleh sejarah. Ini jelas menunjukkan keberkesanan sistem itu sendiri. Milenium ini, kita telah pun diperkenalkan dengan sistem demokrasi dalam hidup berpolitik di negara kita, Malaysia.


Sistem demokrasi dicipta oleh pemikiran politik Barat berteraskan falsafah Barat. Pemerintahan ini juga berteraskan kekuasaan pemerintah dan kedaulatan rakyat. Keputusan dalam demokrasi berdasarkan suara majoriti, yang juga sebagai asas pemerintahan negara.


Kita memerlukan sistem politik baru, iaitu politik kerjasama dan tolong-menolong yang berdasarkan persaudaraan, saling menghargai dan tukar-menukar kekayaan material dan kultural antara sesama manusia di dunia. Dengan politik itu akan terciptalah sistem baru yang akan mendatangkan perdamaian berlandaskan al-Quran dan as-Sunnah.




» Pendidikan al-Quran dan as-Sunnah, DBP.
» Konsep Pembaharuan Masayarakat Islam, Thinkers Library.

Al-Quran Teman Hidup Mukmin

Oleh: Ahmad Ilman


Al-Quran merupakan teman sejati bagi seorang Mukmin sejati. Di saat ia gembira, al-Quranlah pengingatnya. Di saat ia berduka, al-Quranlah penghiburnya. Ia membaca al-Quran laksana membaca surat dari Kekasihnya - dengan penuh penghayatan dan ketaatan. Dalam menghadapi apa jua situasi, al-Quranlah yang pertama sekali ia rujuk.


Allah SWT memuliakan umat Muhammad dengan al-Quran. Mereka yang sering mendampingi al-Quran pahala mereka dilipatgandakan. Di samping itu, kita dipertanggungjawabkan meneliti al-Quran, memeliharanya, menghayati serta mengamalkannya, dan bersungguh-sungguh dalam memuliakannya.


Allah SWT berfirman dalam surah Fatir ayat 29-30 yang mafhumnya:


"Sesungguhnya orang-orang yang selalu membaca kitab Allah dan mendirikan solat dan menafkahkan sebahagian daripada rezeki yang Kami anugerahkan kepada mereka dengan diam-diam dan terang-terangan, mereka itu mengharapkan perniagaan yang tidak akan rugi; agar Allah menyempurnakan kepada mereka pahala mereka dan menambah kepada mereka dari kurnia-Nya. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Mensyukuri."


Membaca al-Quran mempunyai banyak kelebihan dan fadhilatnya. Mereka yang membaca al-Quran dengan hati yang ikhlas akan memperoleh ketenangan hati dan jiwa. Tambahan pula, mereka akan mendapat perlindungan Allah daripada gangguan syaitan. Pada hari akhirat kelak, mereka yang rajin membaca al-Quran akan diberi syafaat oleh al-Quran.


Bacaan al-Quran haruslah disertai dengan penghayatan terhadap isinya. Setiap daripada kita harus berusaha memahami al-Quran yang kita baca. Pengetahuan bahasa Arab amat penting dalam konteks ini. Penghayatan al-Quran memberikan Mukmin jati diri yang unik. Rasulullah SAW ada bersabda yang diriwayatkan oleh at-Tirmizi:


"Sesungguhnya orang yang tidak terdapat dalam rongga badannya sesuatu daripada al-Quran adalah laksana rumah yang roboh."


Seorang Mukmin yang selalu bertemankan al-Quran akan memiliki keistimewaan yang tidak terdapat pada Mukmin yang tidak kerap membacanya. Nabi Muhammad SAW bersabda dalam sebuah hadis yang telah disepakati oleh Imam Bukhari dan Muslim:


"Perumpamaan Mukmin yang membaca al-Quran seperti buah Utrujjah, sedap dimakan, baunya wangi dan rasanya sedap. Perumpamaan Mukmin yang tidak membaca al-Quran seperti buah tamar (kurma), tidak mempunyai bau tetapi rasanya manis. Dan orang munafik yang membaca al-Quran seperti ar-Raihanah, baunya wangi, rasanya pahit. Orang munafik yang tidak membaca al-Quran seperti buah Hanzalah, tiada bau dan rasanya pahit."


Jika kita gundah, rujukilah al-Quran. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenteram. Keraplah kita membaca al-Quran dan menghayatinya serta mengamalkannya. Jadikan hidup kita selaras dengan al-Quran, bagaikan al-Quran yang bergerak laksana generasi sahabat Rasulullah dahulu, merekalah "Generasi Al-Quran Yang Unik," radhiallahu'anhum. Wallahua'lam.




Sabda Rasulullah SAW: خيركم من تعلم القرآن و علمه "Sebaik-baik kamu ialah orang yang belajar al-Quran lalu mengajarkannya."

Al-Quran Sebagai Pembela di Akhirat

Oleh: Muhammad Syafiq


Abu Umamah RA berkata: "Rasulullah SAW telah menganjurkan supaya kami semua mempelajari al-Quran, setelah itu Rasulullah SAW memberitahu tentang kelebihan al-Quran."


Telah bersabda Rasulullah SAW: "Belajarlah kamu akan al-Quran, di akhirat nanti dia akan datang kepada ahli-ahlinya, yang mana di kala itu orang sangat memerlukannya."


Ia akan datang dalam bentuk seindah-indahnya dan ia bertanya, "Kenalkah kamu kepadaku?" Maka orang yang pernah membaca akan menjawab: "Siapakah kamu?" Maka berkata al-Quran: "Akulah yang kamu cintai dan kamu sanjung, dan juga telah bangun malam untukku dan kamu juga pernah membacaku di waktu siang hari."


Kemudian berkata orang yang pernah membaca Al-Quran itu : "Adakah kamu Al- Quran?" Lalu al-Quran mengakui dan menuntun orang yang pernah membaca mengadap Allah SWT. Lalu orang itu diberi kerajaan di tangan kanan dan kekal di tangan kirinya, kemudian dia meletakkan mahkota di atas kepalanya.


Pada kedua ayah dan ibunya pula yang Muslim diberi perhiasan yang tidak dapat ditukar dengan dunia walau berlipat ganda, sehingga keduanya bertanya: "Dari manakah kami memperolehi ini semua, pada hal amal kami tidak sampai ini?" Lalu dijawab: "Kamu diberi ini semua kerana anak kamu telah mempelajari Al- Quran."

Ketawa dan Larangannya

Oleh: Muhammad Syafiq


Dalam satu hadis, Nabi SAW bersabda, "Banyak tertawa dan tergelak-gelak itu mematikan hati." Banyak tertawa menjadikan hati semakin malap dan tidak berseri. Lampu hati tidak bersinar dan akhirnya terus tidak menyala. Hati tidak berfungsi lagi.


Nabi Muhammad melarang ummatnya dari gelak-ketawa yang melampaui batas. Menurut hadith, banyak ketawa menghilangkan akal dan ilmu. Barangsiapa ketawa tergelak-gelak, akan hilang satu pintu daripada pintu ilmu.


Kenapa dilarang ketawa berdekah-dekah? Dalam keadaan suka yang keterlaluan, hati kita lalai dan lupa suasana akhirat dan alam barzakh yang bakal kita tempuhi kelak. Sedangkan dahsyatnya alam tersebut tidak dapat dinukilkan dalam sebarang bentuk media. Kita sedang menuju ke satu destinasi yang belum tentu menjanjikan kebahagiaan abadi.


Sepatutnya kita berfikir bagaimana kedudukan kita di sana nanti, sama ada berbahagia atau menderita. Berbahagia di dunia bersifat sementara tetapi di akhirat berpanjangan tanpa had. Penderitaan di dunia hanya seketika tetapi di akhirat azab yang berterusan dan berkekalan. Merenung dan memikirkan keadaan ini cukup untuk kita menghisab diri serta menyedarkan diri kita tentang bahaya yang akan ditempuh.


"Tertawa-tawa di masjid menggelapkan suasana kubur," demikian ditegaskan oleh Nabi SAW. Kita sedia maklum, kuburlah rumah yang bakal kita duduki dalam tempoh yang panjang. Kita keseorangan dan kesunyian tanpa teman dan keluarga.


Kubur adalah satu pintu ke syurga atau neraka. Betapa dalam kegelapan di sana, kita digelapkan lagi dengan sikap kita yang suka terbahak-bahak di dunia.


Ketawa yang melampaui batas menjadikan kita kurang berilmu. Apabila kurang ilmu, akal turut menjadi kurang. Kepekaan terhadap akhirat juga menurun. Nabi SAW pernah bersabda: "Barang-siapa tertawa-tawa nescaya melaknat akan dia oleh Allah (Al-Jabbar). Mereka yang banyak tertawa di dunia nescaya banyak menangis di akhirat."


Saidina Ali sentiasa mengeluh, "…jauhnya perjalanan, sedikitnya bekalan…" Walaupun hebat zuhud dan ibadat beliau, namun merasakan masih kurang lagi amalannya. Betapa kita yang kerdil dan malas beribadat ini sanggup bergembira 24 jam. Dalam hadith lain, Nabi SAW bersabda, "Barang-siapa banyak tertawa-tawa, nescaya meringankan oleh api neraka." Maksudnya mudah dimasukkan ke dalam neraka.


Kita tidak pula dilarang menunjukkan perasaan suka terhadap sesuatu. Cuma yang dilarang ialah berterusan gembira dengan ketawa yang berlebihan. Sebaik-baik cara bergembira ialah seperti yang dicontohkan oleh Nabi SAW. Baginda tidak terbahak-bahak tetapi hanya tersenyum menampakkan gigi tanpa bersuara kuat.


Para sahabat pernah berkata "Ketawa segala nabi ialah tersenyum, tetapi ketawa syaitan itu tergelak-gelak."