Ahad, Februari 10

"Rilek arr!"

oleh Ahmad Ilman


Assalamualaikum WBT.

"RILEK arr!" Ana masih ingat lagi tatkala mantan mudir SMiK, Cikgu Abdullah Thaidi berseloroh mengenai sikap pemuda-pemudi Islam terutamanya di Malaysia yang terlampau relaks serta acap kali mengambil mudah perkara-perkara di sekeliling mereka.


Cikgu Abdullah berjenaka dengan "rilek arr" itu beberapa kali semasa beliau berucap dalam perhimpunan mingguan yang diadakan setiap hari Selasa. Pada masa itu ana masih berada di Tingkatan Satu dan ana beranggapan bahawa ia hanya jenaka kosong yang tidak terkandung apa-apa makna, yang ditutur untuk menghilangkan kebosanan insan-insan bergelar remaja yang sedang mendengar dan mencatat isi-isi penting dalam tazkirah yang sedang disampaikan. Tetapi kini, apabila ana terkenang kembali peristiwa tersebut, ana terfikir: betullah apa yang dikatakan ex-mudir dahulu. Pemuda-pemudi Islam kita memang kurang mengambil berat akan perkara yang berlaku di sekitar mereka, di sekolah, rumah, masyarakat, mahupun negara, apatah lagi mengenai isu-isu antarabangsa seperti pergolakan yang berlaku di Timur Tengah.


Ana ambil contoh yang dekat dengan ana. Telinga kami memang tak asing lagi dengan seruan supaya memperbetul niat kami datang ke sekolah oleh para murabbi. Para ustaz mahupun abang-abang senior sentiasa berpesan kepada kami dengan hadis "sesungguhnya setiap amalan itu adalah dengan niat." Setiap pagi hadis itu bergema, dan setiap pagi jualah ia bagai "masuk telinga kiri dan keluar telinga kanan." Ada segelintir yang menyatakan kejemuan mereka mendengar tazkirah yang sama setiap pagi, tetapi mereka sendiri tidak mengamalkan takirah yang disampaikan. Apabila ana meluahkan perasaan ana kepada beberapa sahabat ana mengenai perkara ni, jawapan yang ana dapat ialah: "Rilek arr!" Terkenang sebuah memori lalu... haha. Sesungguhnya jawapan mereka itulah yang menggerakkan hati ana menulis pos ni.


Keadaan ini berlaku di mana-mana sahaja. Misalan lagi, "Kau dah siapkan jadual yang cikgu suruh buat?" "Alah, rilek arr! Bukannya cikgu tu boleh marah aku pun..." Inilah fenomena yang melanda Malaysia sekarang ni. Fenomena ini sepatutnya kita tegah agar penyakit "rilek arr" ini tidak berjangkit. Memang nampak kecil saja, tetapi bayangkan sekiranya "rilek arr" itu diaplikasikan dalam ibadah. Kita bermohon agar dijauhkan daripada melihat keadaan di mana kita mendengar Si A berkata, "Apasal kau tak solat?" dan mendengar jawapan Si B, "Rilek arr, hidup masih muda, mati lambat lagi." Ingatlah, kematian boleh menjemput kita bila-bila sahaja... Seharusnya kita sebagai Muslim tidak boleh terlalu relaks kerana tugasan yang perlu kita jalankan serta tanggungjawab dan amanah yang perlu kita tanggung adalah lebih banyak daripada masa yang kita ada.


Firman Allah SWT dalam Surah Al-Baqarah ayat 214 yang mafhumnya:


"Apakah kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum datang kepadamu (cubaan) sebagaimana halnya orang-orang yang terdahulu sebelum kamu? Mereka ditimpa oleh malapetaka dan kesengsaraan, serta digoncangkan (dengan macam-macam cubaan) sehingga berkatalah rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya: 'Bilakah datangnya pertolongan Allah?' Ingatlah, sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat."


Mahar syurga tiadalah murah... apakah kita menyangka bahawa kita boleh masuk syurga dengan hanya bersantai? Apakah kita menyangka bahawa kita boleh masuk syurga dengan sikap sambil lewa dan suka ambil mudah? Mustahil — kecuali dengan rahmat Allah SWT. Ana berpesan kepada diri ana yang banyak melakukan kesilapan; dan ana berpesan jua kepada antum sekalian, marilah kita berdoa kepada Allah agar menjauhkan diri kita daripada sikap malas berusaha dan suka menangguhkan kerja, kerana tergesa-gesa dan tertangguh-tangguh itu amalan syaitan. Moga-moga kita tergolong dalam hamba-Nya yang dimasukkan dalam al-Firdaus, insya-Allah. Wallahua'lam.