Khamis, November 29

Apa Buktinya Tuhan Ada?

Pada suatu hari, seorang cendekiawan terkenal yang bernama Abu Hanifah dikunjungi oleh seorang pemuda. Pemikiran Abu Hanifah berpengaruh hingga hari ini. Pemuda itu datang dengan berniat hendak bertanyakan soal-soal ketuhanan. Beginilah dialog mereka berdua:
Pemuda : Apakah tuan sendiri pernah melihat Tuhan?
Abu Hanifah : Maha Suci Tuhan saya. Dia tidak dapat dilihat menggunakan mata manusia.
Pemuda : Pernahkah tuan menyentuh, mencium, mendengar, ataupun merasai kehadiran-Nya?
Abu Hanifah : Tuhan tidak sama denga apa-apa pun, baik yang terfikir mahupun terbayang oleh manusia.
Pemuda : Kalau tuan tidak pernah melihat, mendengar dan merasa kehadiran Tuhan, bagaimana dapat dibuktikan kewujudan-Nya?
Abu Hanifah : Pernahkah saudara melihat akal saudara sendiri?
Pemuda : Tidak pernah.
Abu Hanifah : Pernahkah saudara menyentuh ataupun merasai kehadiran akal saudara sendiri?
Pemuda : Tidak pernah.
Abu Hanifah : Adakah saudara waras?
Pemuda : Sudah tentu , saya waras.
Abu Hanifah : Jadi, saudara mempunyai akal?
Pemuda : Tentu ada.
Abu Hanifah : Begitulah juga kewujudan Tuhan. Dia wujud, walaupun kita tidak dapat merasai kehadiran-Nya menggunakan pancaindera kita.

Dialog di antara Abu Hanifah dan pemuda itu pun berakhir di situ.

Adat bagi Orang Alim

Bagi mereka yang mendukung ilmu pengetahuan duniawi mahupun ukhrawi, seperti da’ie, para guru, serta pelajar, hendaklah mereka sekaliannya memiliki karisma yang menggambarkan status kepentingan ilmu dalam Islam…
  • Menanggung sesuatu yang didatangkan oleh muridnya daripada pertanyaan mahupun pekerjaan yang susah baginya.
  • Tidak cepat marah dan kuat sabar.
  • Duduk dengan kelakuan yang hebat sambil menundukkan kepala.
  • Meninggalkan takabbur, ujub, dan riya’.
  • Senantiasa bertawaddhu’ serta merendahkan diri.
  • Tidak bermain-main mahupun bersenda-senda.
  • Mengasihi sekalian muridnya.
  • Menjawab pertanyaan orang yang bebal dengan perlahan-lahan.
  • Mengajar sekalian orang jahil serta tidak menggertak orang yang baru belajar.
  • Tidak malu mengatakan, “Ana tak tahu,” jika tidak mengetahui akan sesuatu masalah ataupun syak.
  • Senantiasa bersungguh-sungguh terhadap orang yang bertanya.
  • Merendahkan diri untuk menerima dalil daripada muridnya, tidak berdolak-dalik atas perasaan ego atau malu, kerana mengikut yang Haqq itu adalah wajib.
  • Tidak malu untuk kembali menyelesaikan masalah yang sudah tersilap penyelesaiannya.
  • Menegah manusia daripada mengamalkan ilmu yang tiada manfaat.
  • Menegah manusia daripada mempelajari ilmu dengan niat selain untuk Allah SWT.
  • Menegah mereka yang mendahulukan pengajaran fardhu kifayah daripada fardhu ain.
  • Senantiasa beramal dengan ilmunya, agar murid-muridnya mencontohinya.

Doa-doa Menghadapi Peperiksaan

Doa agar dikurniakan kefahaman yang baik dan ingatan yang sempurna sewaktu menelaah matapelajaran:

اللَّهُمَّ ارْزُقْنَا فَهْمَ النَّبِيِّينَ وَحِفْظَ المُرْسَلِينَ وإلْهَامَ المَلاَئِكَةِ المُقَرَّبِينَ فِي عَافِيَةٍ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ
“Wahai Tuhanku, kurniakanlah kami kefahaman para Nabi dan hafazan para Rasul, serta ilham daripada para Malaikat yang hampir dengan-Mu, kurniakanlah kami kesihatan wahai Tuhan yang Maha Pengasih.”

Doa sebelum masuk ke dalam kelas atau dewan peperiksaan:

وَهَيِّئْ لَنَا مِنْ أَمْرِنَا رَشَدا
“Ya Allah, persiapkanlah kami akan urusan kami dengan petunjuk-Mu.”

Doa apabila terlupa ketika menjawab soalan:

سُبْحَانَ مَن لاَّ يَنَامُ وَلاَ يَسْهُو. اللَّهُمَّ ذَكِّرْنِي مَا نَسِيتُ
“Maha Suci Tuhan yang tidak pernah tidur dan tidak pernah lupa. Wahai Tuhanku, ingatkanlah daku apa-apa yang kulupa.”

Doa memohon kejayaan cemerlang:

اللَّهُمَّ إني أسْألُكَ الفَوْزَ عِنْدَ القَضَاءِ وَمَنَازِلَ الشُهَدآءِ وَعَيْشَ السُّعَدآءِ وَالنَّصْرُ عَلَى الأعْدآءِ
“Ya Allah, kami memohon daripada-Mu kejayaan dalam setiap ketentuan, tempat para syuhada’, dan kehidupan mereka yang bahagia serta kemenangan ke atas musuh.”

Watak Sahabat Sejati

Al-Qamah berpesan kepada puteranya:
“Wahai anakku! Sekiranya engkau merasakan bahawa engkau perlu bersahabat, maka pilihlah sifatnya yang berikut...”
  1. Jika engkau membuat bakti kepadanya, ia akan melindungimu.
  2. Jika engkau merapatkan persahabatan dengannya, ia akan membalas baik persahabatanmu itu.
  3. Jika engkau memerlukan pertolongan daripadanya berupa wang dan sebagainya, ia akan membantumu.
  4. Jika engkau menghulurkan sesuatu kebaikan kepadanya, ia akan menerimanya dengan baik.
  5. Jika ia mendapat suatu kebajikan (bantuan) daripadamu, ia akan menghargai dan menyebut kebaikanmu.
  6. Jika ia melihat sesuatu yang tidak baik daripadamu, ia akan menutupnya.
  7. Jika engkau meminta sesuatu bantuan daripadanya, ia akan mengusahakannya.
  8. Jika engkau berdiam diri (kerana malu hendak meminta), ia akan menanyakan kesusahanmu.
  9. Jika datang suatu bencana menimpa dirimu, ia akan meringankan kesusahanmu (membuat sesuatu untuk menghilangkan kesusahan itu).
  10. Jika engkau berkata kepadanya, nescaya ia akan membenarkanmu.
  11. Jika engkau merancangkan sesuatu, ia akan membantumu.
  12. Jika engkau berdua berselisih faham, nescaya ia lebih senang mengalah untuk menjaga kepentingan persahabatan.

Ilmu Asas Kejayaan Islam

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, kita memuji-Nya, memohon keampunan serta pertolongan daripada-Nya. Barangsiapa yang telah diberikan petunjuk oleh Allah SWT, maka tiada siapa yang boleh menyesatkannya; dan barangsiapa yang telah disesatkan oleh Allah SWT, maka tiada siapa yang mampu memberi petunjuk kepadanya. Selawat dan salam ke atas Rasulillah, ahli keluarga, serta para sahabat baginda yang dikasihi.

Menuntut ilmu merupakan satu tanggungjawab untuk mengimarah dunia dengan cara yang dikehendaki-Nya. Dengan ilmu, kedudukan manusia menjadi tinggi di sisi Allah SWT. Allah SWT telah berfirman dalam Surah Al-Mujadalah, ayat ke-11 yang bermaksud:

“Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu serta orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan dengan beberapa darjat.”

Kesedaran terhadap kepentingan ilmu yang begitu jelas dalam pembentukan generasi awal Islam telah membuktikan bahawa ilmu serta iman merupakan asas kejayaan mereka mentadbir dunia mengikut acuan yang dikehendaki Allah SWT.

Perkembangan mutakhir dunia Islam menyaksikan kelemahan umat Islam dalam pelbagai aspek, meyebabkan mereka menjadi mangsa yang kepala mereka ditonyoh oleh Kuffar dengan sewenang-wenangnya. Benarlah apa yang dikaji oleh Malik bin Nabi, seorang tokoh pemikir Islam yang ulung, bahawa kelemahan umat Islam disebabkan oleh dua faktor penting, iaitu kurang ilmu dan kurang amal.

Mudah-mudahan dengan pembacaan buletin Fikruttaqwa Edisi Khas 2007 ini mata kita akan terjaga dan kita tidak lagi alpa, dan mula mencorakkan hidup kita yang singkat ini dengan warna-warna keimanan, ketaqwaan, serta nilai kehidupan seorang Khalifah yang sebenar.