Selasa, Disember 30

Tinjau Perihal Kematian


Assalamualaikum WBT. Tahiyyatun Tayyibatun Wa Ba'd.

Mari bersama-sama kita rafa'kan setinggi syukur kepada Allah s.w.t. kerana memberikan nikmat yang terbesar kepada kita yakni nikmat iman dan nikmat islam. Tetapi kali ini saya juga ingin menekankan nikmat kedua terbesar yang ada sangkut-paut dengan tajuk yang ingin disampaikan kali ini. Nikmat kedua terbesar ialah "Kefahaman yang jelas dan Kebijaksanaan".

Kata Rasulullah, orang yang paling bijak dan cerdik ialah orang yang mengingati mati.
Mari kita lihat perumpamaan mengenai perjalanan hidup kita. Perumpamaan ini disebut sendiri oleh Nabi Nuh Alaihissalam:

Diceritakan bahawa ketika Nabi Nuh Alaihissalam hendak meninggal dunia, sahabat-sahabatnya bertanya kepada nabi Nuh: "Bagaimanakah rasanya hidup ini menurutmu?" Mereka wajar bertanya seperti ini kerana nabi Nuh Alaihissalam hidup selama 950 tahun.

Dia menjawab: "Aku merasakan bahawa hidup ini hanyalah bagaikan sebuah rumah yang memiliki dua pintu. Jika aku masuk dari pintu yang satu, maka aku keluar dari pintu yang lain." (Ini bermakna bahawa kehidupan ini amat membosankan dan hanyalah mengerjakan rutin harian sahaja).

Cakap pasal hidup dan mati ini, teringat pula saya pada kata-kata Abu Al-'Itahiyyah yang ditujukan kepada Khalifah Al-Mahdi:

Ratapilah kematianmu wahai orang yang sengsara;
sebab sekalipun engkau meratapinya.
Engkau pasti akan tetap mati juga;
walaupun umurmu panjang seperti umur Nabi Nuh Alaihissalam.

Kata-katanya bagi saya amat selari dengan dengan firman Allah s.w.t.:

"Dan sesungguhnya kamu telah datang kepada kami bersendirian......."(Al-An'am: 19)


Sebahagian Ulama' tafsir berkata: "Sebab turunnya ayat ini, kerana Abu Jahal berkata: "Muhammad mengatakan, bahawa Allah mempunyai 19 malaikat sebagai penjaga neraka." Tetapi menurutku, jumlah 10 sahaja sudah mencukupi, malah kamu berasa cukup dengan 9 sahaja sebagai penjaga neraka itu."

Lalu Allah s.w.t. berfirman:

"Dan sesungguhnya kamu telah datang kepada kami bersendirian......."(Al-An'am: 19)


Siapakah di antara kita yang ketika keluar dari dunia ini ditemani oleh keluarga atau sahabatnya?

Siapakah di antara kita yang menemani sahabat atau tetangganya yang meninggal dunia kembali kepada Allah?

Siapakah di antara kita yang ketika meninggal dunia membawa pakaian, harta, dan keluarganya ke alam barzakh? Sesungguhnya tiada sesiapapun yang akan menemani kita!

Oleh itu, dalam surah yang lain Allah s.w.t berfirman:

"Tiada seorangpun di langit dan di bumi kecuali akan datang kepada Tuhan Yang Maha Pemurah selaku seorang hamba. Sesungguhnya Allah telah menentukan jumlah mereka dan menghitung mereka dengan hitungan yang tepat. Dan tiap-tiap mereka akan datang kepada Allah pada hari Qiamat dengan bersendirian." (Maryam: 93-95)

Para pembaca sekalian, sebenarnya kehidupan ini baru ada nilainya bilamana digunakan untuk mencari keredhaan Allah dan untuk berbuat taat kepadaNya.

Detik jantung seseorang mengkhabarkan kepadanya;
bahawa kehidupan itu hanya terdiri dari beberapa saat.
Maka sedarlah sebelum kematian mengingatkanmu;
ingat kematian bagaikan hidup untuk yang kedua kalinya.


Wassalam WBT.

Selasa, Disember 16

Memelihara Cuti

oleh: Ahmad Ilman


Assalamualaikum WBT.


Cuti merupakan satu peluang untuk kita mengurai kembali simpulan-simpulan minda dan jisim yang telah kusut dan berselirat sewaktu kita bersekolah, bekerja, dan sebagainya. Cuti merupakan masa lapang, dan masa lapang amat digalakkan untuk kita merebutnya seperti sabda Rasulullah SAW, "Dan (rebutlah) masa lapang sebelum tiba masa sempit."


Cuti datang bersama satu musuh yang berbahaya jika kita tidak berwaspada dengannya. Demi mengendurkan ketegangan yang dialami akibat tugasan atau persekolahan, ramai menyalahgunakan masa lapang yang diberi oleh Allah ini dengan mengisi waktu cuti dengan perkara-perkara yang melalaikan. Masalah ini timbul disebabkan oleh salah faham terhadap konsep melepaskan tekanan ataupun 'tension release.'


Melepaskan tekanan tidak bererti melepaskan tanggungjawab kita sebagai hamba yang sentiasa terikat kepada kehendak Allah. Hubungan dengan Allah tidak boleh kita abaikan atas nama melepaskan tekanan. Seperti para pelajar yang bertindak melepaskan tekanan dengan bermain permainan komputer sehingga waktu solat hampir tamat. Seperti mereka yang menonton bola sehingga larut malam lalu solat fajar di luar waktu akibat terlajak tidur. Seperti mereka yang lupa membaca al-Quran sebaliknya hanya membaca komik dan majalah hiburan.


Hati manusia akan menjadi gelap dan keras sekiranya hubungan dengan Allah tidak dijaga. Antara cara yang boleh kita amalkan untuk menjaga dan meningkatkan hubungan kita dengan Allah sewaktu cuti adalah dengan mendampingi al-Quran. Nabi Muhammad SAW bersabda, "Sesungguhnya hati dapat membeku seperti besi." Lalu ditanyakan, "Bagaimana cara melembutkannya?" Baginda menjawab, "Membaca al-Quran dan mengingati mati (zikrul maut)."


Membaca al-Quran dengan penuh penghayatan dapat meningkatkan iman dan membersihkan hati. Iman dapat mewujudkan ketenangan jiwa seperti yang termaktub dalam firman Allah SWT dalam Surah al-Fath, 48: 4:



Maksudnya: Dialah (Allah) Yang memberi ketenangan ke dalam hati orang-orang Mukmin supaya bertambah lagi iman mereka di samping iman mereka (yang sedia ada).


Ayat ini merupakan bukti yang menunjukkan cara seharusnya bagi orang-orang Mukmin untuk melepaskan tekanan adalah dengan meningkatkan keimanan kepada Allah. Jika kita hendak merehatkan minda dengan hiburan, berhiburlah dengan hiburan yang membawa kita kepada Allah. Jika kita hendak melepaskan tekanan dengan membaca, carilah bahan bacaan yang santai tetapi boleh mendekatkan kita dengan Allah SWT.


Tidak semestinya kita perlu membaca buku agama yang tebal-tebal untuk meningkatkan keimanan kita. Sekiranya kita membaca buku-buku ilmiah yang memberi fakta-fakta sains, geografi, sejarah dan lain-lain sudah cukup untuk kita berhenti sejenak memikirkan kebesaran Allah SWT. Akan tetapi, ini tidak bermakna buku-buku fikrah boleh kita abaikan. Poinnya di sini ialah, bukan kuantiti bacaan kita yang penting, tetapi kualiti bacaan, penghayatan serta amalan. Para sahabat Rasulullah SWT hanya menghafal lima ayat al-Quran pada satu-satu masa dan mereka tidak berpindah ke ayat lain sehingga lima ayat yang pertama tersebut betul-betul meresap dalam hati mereka dan terzahir sebagai amalan. Praktis para sahabat ini boleh kita amalkan untuk membentuk hati kita supaya sentiasa terikat dengan Allah SWT. Sekalipun kita khatam al-Quran seminggu sekali ataupun menghabiskan sepuluh buku fikrah sepanjang cuti ini, semuanya tidak bermakna sekiranya kita tidak mengamalkan apa yang kita baca, lebih-lebih lagi jika amalan kita bertentangan dengan fikrah Islamiah.


Akhir kalam, manfaatkanlah waktu lapang dan janganlah kita mengabaikan tanggungjawab. Cuti tidak bermakna perlepasan daripada tanggungjawab, cuti hanyalah merupakan waktu persediaan untuk menerima tanggungjawab seterusnya. Sebagai pelajar, tanggungjawab kita ialah belajar untuk mendapatkan keredhaan Allah. Cuti persekolahan merupakan masa untuk mengulangkaji pelajaran yang lepas dan bersedia untuk menerima ilmu baharu pada semester seterusnya. Janganlah kita hampakan harapan yang mengharap kepada kita dan membakar hangus wang ringgit yang dilaburkan oleh ibu bapa kita.


Wallahua'lam.