Sabtu, Februari 7

Berpindah...

Assalamualaikum WBT. Tahiyyatun Tayyibatun Wa Ba'd.

Diumumkan bahawa Fikruttaqwa Online mulai sekarang dikemas kini dalam blog baharu, tetapi menggunakan alamat yang sama: http://fikruttaqwa.blogspot.com. Sehubungan itu, alamat blog ini ditukarkan kepada http://fikruttaqwa-lama.blogspot.com. Diharapkan mereka yang telah mengikuti blog ini boleh mengemas kini ikutan mereka.

Harap maklum.

Wassalam WBT.

Khamis, Januari 22

Melangkah ke Tahun Baharu


oleh: Sidang Editor Fikruttaqwa


Assalamualaikum WBT.


Alhamdulillah, kita rafakkan setinggi-tinggi pujian ke hadrat Allah SWT yang sentiasa melimpahkan nikmat-Nya; yang mengizinkan blog ini wujud, yang memberi kekuatan kepada tangan ini menulis, dan yang memberi keupayaan pembaca menatap log maya ini. Selawat dan salam kita tujukan kepada Nabi Muhammad SAW Rasulullah yang telah berkorban dengan pengertian tadhiah yang sebenarnya demi umatnya sehingga hati-hati kita pada hari ini tersentuh jua dek nur Allah SWT melalui gelombang tarbiah harakiah yang dimulai baginda.


Alhamdulillah, sekali lagi, kita telah pun melangkah ke tahun persekolahan baru 1430H/2009M. Ini merupakan peluang yang diberi oleh Allah SWT untuk kita memperbaiki salah silap yang kita lakukan pada tahun-tahun lalu untuk kita sama-sama menjadi insan yang lebih baik dan lebih bertaqwa kepada Allah. Apa-apa yang berlaku sebelum ini tak usah diingat-ingati dan jangan pula dilupakan terus. Tak usahlah kita jadikan perkara yang telah berlalu sebagai penghalang untuk kita melakukan perubahan dan jadikanlah salah silap kita sebagai iktibar dan pengajaran yang tidak akan kita ulangi untuk kita jadikan hari ini lebih baik dari semalam. Ketahuilah, setiap manusia itu berbuat salah, dan sebaik-baik manusia yang berbuat salah ialah mereka yang bertaubat atas kesalahan mereka.


Pihak Fikruttaqwa mengucapkan tahniah dan ahlan wa sahlan kepada para pelajar baharu dari Tingkatan Satu hingga ke Tingkatan Lima yang diterima masuk ke Sekolah Menengah Ibn Khaldun pada tahun ini. Kalian ialah insan-insan pilihan Allah yang diberi peluang oleh Allah untuk duduk dalam suasana tarbiyah Islam. Dikurniai dengan para murabbi yang bersungguh-sungguh mendidik antum menjadi insan yang diredhai Allah. Segala yang bakal antum terima di sini, baik kesusahan mahupun kesenangan, merupakan cebisan-cebisan nikmat Allah. Iman dan Islam merupakan dua nikmat terbesar maka segala yang diperlukan untuk mencapainya jua ialah nikmat. Dimarahi guru adalah untuk menambah iman. Menolong guru adalah untuk menambah iman. Disuruh berdiri di tengah panas ketika latihan kawad adalah untuk menambah iman. Berbual dan berdiskusi dengan rakan-rakan adalah untuk menambah iman. Ini merupakan antara perkara-perkara nikmat yang jarang sekali kita hargai.


InsyaAllah, pihak Fikruttaqwa juga akan sentiasa berusaha membaiki kelemahan kami pada tahun lalu, antaranya kekerapan penerbitan pos yang agak rendah dan isi yang tidak tersusun. Sidang Editor Fikruttaqwa pada tahun ini telah dibentuk dan insya-Allah, kami akan memikirkan jalan-jalan untuk memantapkan blog ini sebagai media dakwah serta sebagai media berita SMIK. Segala cadangan dan komen adalah amat dialu-alukan dan boleh dicatat di ruangan komen pos ini atau di chatbox dan boleh juga dihantar melalui e-mail.