Rabu, Jun 18

Kemajuan dan Ketamadunan Diri

Oleh: Ahmad Ilman

Ketamadunan merupakan salah satu ciri istimewa yang dikurniakan kepada manusia yang membezakannya dengan sekalian makhluk yang lain. Perkataan tamadun itu diertikan serta ditafsirkan dengan berbagai-bagai makna yang berbeza. Menurut Barat yang mendefinisikan tamadun dari sudut materialistik mereka, satu masyarakat itu dianggap sebagai bertamadun apabila masyarakat tersebut mencapai kemajuan dari aspek fizikal seperti kemajuan peradaban, ekonomi, pembandaran (urbanisasi) dan sebagainya. Dalam Islam pula, konsep tamadun difokuskan kepada kemajuan aspek spiritual dan moral sesuatu masyarakat di mana kedua-dua aspek ini (spiritual dan moral) akan membuahkan kemajuan dari aspek fizikal. Nah, Islam merupakan ad-Din yang syumul yang menekankan kemajuan dari segenap aspek peradaban manusia.

Sebelum kita meneruskan perbicaraan, mari kita lihat sejenak apakah yang kononnya dikatakan negara "maju/bertamadun" itu. Mari kita ambil Amerika Syarikat, misalnya. Negara tersebut kelihatan amat maju, bertamadun dan moden. Bangunan pencakar langit boleh didapati di mana-mana sahaja. Kemajuan teknologinya kelihatan amat canggih dan tiada tandingan. Itu adalah pada luarannya. Mari kita bedah statistik jenayah negara yang dikatakan "maju" ini -- secara puratanya satu pembunuhan berlaku setiap 32 saat di AS, satu kes rogol setiap 5.6 saat, dan satu kes rompak setiap 1.3 saat. Di Jepun yang merupakan negara Asia yang paling maju teknologinya pula, kadar bunuh diri ialah 30, 000 orang setahun dan masih meningkat. Sekarang sudah tampak jelas: kemajuan fizikal semata-mata tidak cukup untuk mengukur tamadun manusia. Manusia memerlukan kemajuan dari aspek lain untuk mengimbangi semua modenisasi dan globalisasi dewasa ini.


Apakah erti tamadun yang sebenarnya? Tamadun ialah kemajuan yang seimbang dari aspek spiritual dan material, dengan penekanan diberikan kepada aspek spiritual. Kemajuan spiritual ialah asas bagi tamadun kerana kemajuan material bercambah daripada kemantapan iman. Ini telah dibuktikan oleh para cendekiawan Islam dahulu seperti Ibn Khaldun, al-Khawarizmi, Ibn Sina, Ibn Haitham, dan banyak lagi. Iman ialah lambang jati diri seseorang dan merupakan pendorong untuk manusia sentiasa memajukan diri menjadi insan yang lebih baik. Dikatakan bahawa sekiranya kita tidak tahu dari mana kita datang, kita tidak akan tahu ke mana kita sedang menuju. Dengan iman, kita akan kenal siapakah Pencipta kita. Kita akan tahu untuk apakah kita diciptakan. Dan kita akan tahu kepada siapa kita akan dikembalikan. Dengan iman, kita ada matlamat. Dengan matlamat, kita tidak akan sesat.


Untuk menjadi masyarakat yang terbaik, kita seharusnya berpegang teguh dengan tali iman yang dipegang oleh masyarakat yang terbaik di dunia -- dan masyarakat terbaik yang pernah dibangkitkan daripada kalangan manusia ialah Ummah Islam yang sebenarnya. Allah SWT berfirman dalam Surah Ali Imran ayat 110: "Kamu ialah umat yang terbaik yang dibangkitkan untuk kebaikan manusia, kamu mengajak kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran dan kamu beriman kepada Allah." Allah SWT telah menyatakan dengan jelasnya dalam ayat tersebut apakah ciri-ciri umat yang terbaik ini. Ciri-ciri ini telah dimanifestasikan dalam kehidupan para sahabat Rasulullah SAW yang ditarbiah oleh baginda sendiri sehingga menjadi "generasi al-Quran yang unik." Oleh itu, kita perlu mengambil contoh daripada kekuatan iman serta komitmen para sahabat dalam menjalankan amar makruf nahi mungkar untuk menjadi umat yang terbaik.


Marilah kita mengalihkan fokus kita kepada kemajuan dan ketamadunan diri. Individu merupakan komponen terkecil, pada masa yang sama komponen terpenting dalam sesebuah masyarakat. Individu yang terbaik pula ialah individu yang beriman dengan Allah SWT, mengajak manusia kepada kebaikan dan mencegah manusia daripada melakukan kemungkaran. Keimanan kepada Allah SWT merupakan asas bagi setiap perubahan positif yang Islamik. Mengajak kepada kebaikan (amar makruf) dan mencegah kemungkaran (nahi mungkar) pula dikategorikan sebagai amal salih dalam Islam. Kedua-dua perkara ini, yakni iman dan amal salih merupakan asas kepada kemajuan individu yang seterusnya. Sebagaimana yang kita maklum, frasa "mereka yang beriman dan beramal salih" sentiasa diulang-ulang dalam al-Quran menunjukkan prioritinya dalam membentuk individu-individu yang berjaya di dunia dan di akhirat.

Kita seharusnya menghentikan tabiat-tabiat yang tidak produktif seperti terlampau relaks, suka melepak, mengabaikan tanggungjawab dan sebagainya kerana tabiat-tabiat tersebut bukanlah sifat-sifat seorang Muslim yang ideal. Kita hendaklah mewujudkan budaya cinta akan ilmu pengetahuan. Rasulullah SAW ada bersabda: "Jadilah kamu orang berilmu, atau orang yang menuntut ilmu, atau orang yang mendengar ilmu, atau orang yang mencintai ilmu, dan janganlah kamu jadi orang yang kelima, nescaya kamu akan binasa." Ilmu juga meningkatkan martabat manusia di sisi Allah sepertimana yang telah tercatat dalam Surah al-Mujadalah ayat 11: "Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu serta orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan dengan beberapa darjat." Seorang Muslim sejati berpegang kepada satu prinsipyang menarik iaitu hari ini lebih baik daripada semalam dan esok lebih baik daripada hari ini. Seorang Muslim sejati memajukan serta meningkatkan dirinya selari dengan peredaran zaman.


Ketahuilah, setiap insan mempunyai potensi untuk berjaya. Sesungguhnya Allah itu Maha Adil. Kita cuma perlu meneroka dalam bidang apa kita boleh berjaya -- boleh jadi dalam bidang akademik, sukan, penulisan, pertanian, dll -- tetapi bidang tersebut mestilah bidang yang boleh memanfaatkan Islam. Untuk berjaya, kita perlu akan usaha dan pengorbanan. Allah SWT telah berfirman dalam Surah ar-Ra'd ayat 11: "Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum sehinggalah mereka mengubah nasib mereka sendiri." Oleh sebab itu, kita tidak seharusnya hanya melepak dan membuang masa. Sesungguhnya tanggungjawab yang kita pikul jauh lebih banyak daripada masa yang kita ada. Marilah kita mengubah diri kita, bermula sekarang!


Hayya alal Falah!