Sabtu, Februari 7

Berpindah...

Assalamualaikum WBT. Tahiyyatun Tayyibatun Wa Ba'd.

Diumumkan bahawa Fikruttaqwa Online mulai sekarang dikemas kini dalam blog baharu, tetapi menggunakan alamat yang sama: http://fikruttaqwa.blogspot.com. Sehubungan itu, alamat blog ini ditukarkan kepada http://fikruttaqwa-lama.blogspot.com. Diharapkan mereka yang telah mengikuti blog ini boleh mengemas kini ikutan mereka.

Harap maklum.

Wassalam WBT.

Khamis, Januari 22

Melangkah ke Tahun Baharu


oleh: Sidang Editor Fikruttaqwa


Assalamualaikum WBT.


Alhamdulillah, kita rafakkan setinggi-tinggi pujian ke hadrat Allah SWT yang sentiasa melimpahkan nikmat-Nya; yang mengizinkan blog ini wujud, yang memberi kekuatan kepada tangan ini menulis, dan yang memberi keupayaan pembaca menatap log maya ini. Selawat dan salam kita tujukan kepada Nabi Muhammad SAW Rasulullah yang telah berkorban dengan pengertian tadhiah yang sebenarnya demi umatnya sehingga hati-hati kita pada hari ini tersentuh jua dek nur Allah SWT melalui gelombang tarbiah harakiah yang dimulai baginda.


Alhamdulillah, sekali lagi, kita telah pun melangkah ke tahun persekolahan baru 1430H/2009M. Ini merupakan peluang yang diberi oleh Allah SWT untuk kita memperbaiki salah silap yang kita lakukan pada tahun-tahun lalu untuk kita sama-sama menjadi insan yang lebih baik dan lebih bertaqwa kepada Allah. Apa-apa yang berlaku sebelum ini tak usah diingat-ingati dan jangan pula dilupakan terus. Tak usahlah kita jadikan perkara yang telah berlalu sebagai penghalang untuk kita melakukan perubahan dan jadikanlah salah silap kita sebagai iktibar dan pengajaran yang tidak akan kita ulangi untuk kita jadikan hari ini lebih baik dari semalam. Ketahuilah, setiap manusia itu berbuat salah, dan sebaik-baik manusia yang berbuat salah ialah mereka yang bertaubat atas kesalahan mereka.


Pihak Fikruttaqwa mengucapkan tahniah dan ahlan wa sahlan kepada para pelajar baharu dari Tingkatan Satu hingga ke Tingkatan Lima yang diterima masuk ke Sekolah Menengah Ibn Khaldun pada tahun ini. Kalian ialah insan-insan pilihan Allah yang diberi peluang oleh Allah untuk duduk dalam suasana tarbiyah Islam. Dikurniai dengan para murabbi yang bersungguh-sungguh mendidik antum menjadi insan yang diredhai Allah. Segala yang bakal antum terima di sini, baik kesusahan mahupun kesenangan, merupakan cebisan-cebisan nikmat Allah. Iman dan Islam merupakan dua nikmat terbesar maka segala yang diperlukan untuk mencapainya jua ialah nikmat. Dimarahi guru adalah untuk menambah iman. Menolong guru adalah untuk menambah iman. Disuruh berdiri di tengah panas ketika latihan kawad adalah untuk menambah iman. Berbual dan berdiskusi dengan rakan-rakan adalah untuk menambah iman. Ini merupakan antara perkara-perkara nikmat yang jarang sekali kita hargai.


InsyaAllah, pihak Fikruttaqwa juga akan sentiasa berusaha membaiki kelemahan kami pada tahun lalu, antaranya kekerapan penerbitan pos yang agak rendah dan isi yang tidak tersusun. Sidang Editor Fikruttaqwa pada tahun ini telah dibentuk dan insya-Allah, kami akan memikirkan jalan-jalan untuk memantapkan blog ini sebagai media dakwah serta sebagai media berita SMIK. Segala cadangan dan komen adalah amat dialu-alukan dan boleh dicatat di ruangan komen pos ini atau di chatbox dan boleh juga dihantar melalui e-mail.


Selasa, Disember 30

Tinjau Perihal Kematian


Assalamualaikum WBT. Tahiyyatun Tayyibatun Wa Ba'd.

Mari bersama-sama kita rafa'kan setinggi syukur kepada Allah s.w.t. kerana memberikan nikmat yang terbesar kepada kita yakni nikmat iman dan nikmat islam. Tetapi kali ini saya juga ingin menekankan nikmat kedua terbesar yang ada sangkut-paut dengan tajuk yang ingin disampaikan kali ini. Nikmat kedua terbesar ialah "Kefahaman yang jelas dan Kebijaksanaan".

Kata Rasulullah, orang yang paling bijak dan cerdik ialah orang yang mengingati mati.
Mari kita lihat perumpamaan mengenai perjalanan hidup kita. Perumpamaan ini disebut sendiri oleh Nabi Nuh Alaihissalam:

Diceritakan bahawa ketika Nabi Nuh Alaihissalam hendak meninggal dunia, sahabat-sahabatnya bertanya kepada nabi Nuh: "Bagaimanakah rasanya hidup ini menurutmu?" Mereka wajar bertanya seperti ini kerana nabi Nuh Alaihissalam hidup selama 950 tahun.

Dia menjawab: "Aku merasakan bahawa hidup ini hanyalah bagaikan sebuah rumah yang memiliki dua pintu. Jika aku masuk dari pintu yang satu, maka aku keluar dari pintu yang lain." (Ini bermakna bahawa kehidupan ini amat membosankan dan hanyalah mengerjakan rutin harian sahaja).

Cakap pasal hidup dan mati ini, teringat pula saya pada kata-kata Abu Al-'Itahiyyah yang ditujukan kepada Khalifah Al-Mahdi:

Ratapilah kematianmu wahai orang yang sengsara;
sebab sekalipun engkau meratapinya.
Engkau pasti akan tetap mati juga;
walaupun umurmu panjang seperti umur Nabi Nuh Alaihissalam.

Kata-katanya bagi saya amat selari dengan dengan firman Allah s.w.t.:

"Dan sesungguhnya kamu telah datang kepada kami bersendirian......."(Al-An'am: 19)


Sebahagian Ulama' tafsir berkata: "Sebab turunnya ayat ini, kerana Abu Jahal berkata: "Muhammad mengatakan, bahawa Allah mempunyai 19 malaikat sebagai penjaga neraka." Tetapi menurutku, jumlah 10 sahaja sudah mencukupi, malah kamu berasa cukup dengan 9 sahaja sebagai penjaga neraka itu."

Lalu Allah s.w.t. berfirman:

"Dan sesungguhnya kamu telah datang kepada kami bersendirian......."(Al-An'am: 19)


Siapakah di antara kita yang ketika keluar dari dunia ini ditemani oleh keluarga atau sahabatnya?

Siapakah di antara kita yang menemani sahabat atau tetangganya yang meninggal dunia kembali kepada Allah?

Siapakah di antara kita yang ketika meninggal dunia membawa pakaian, harta, dan keluarganya ke alam barzakh? Sesungguhnya tiada sesiapapun yang akan menemani kita!

Oleh itu, dalam surah yang lain Allah s.w.t berfirman:

"Tiada seorangpun di langit dan di bumi kecuali akan datang kepada Tuhan Yang Maha Pemurah selaku seorang hamba. Sesungguhnya Allah telah menentukan jumlah mereka dan menghitung mereka dengan hitungan yang tepat. Dan tiap-tiap mereka akan datang kepada Allah pada hari Qiamat dengan bersendirian." (Maryam: 93-95)

Para pembaca sekalian, sebenarnya kehidupan ini baru ada nilainya bilamana digunakan untuk mencari keredhaan Allah dan untuk berbuat taat kepadaNya.

Detik jantung seseorang mengkhabarkan kepadanya;
bahawa kehidupan itu hanya terdiri dari beberapa saat.
Maka sedarlah sebelum kematian mengingatkanmu;
ingat kematian bagaikan hidup untuk yang kedua kalinya.


Wassalam WBT.

Selasa, Disember 16

Memelihara Cuti

oleh: Ahmad Ilman


Assalamualaikum WBT.


Cuti merupakan satu peluang untuk kita mengurai kembali simpulan-simpulan minda dan jisim yang telah kusut dan berselirat sewaktu kita bersekolah, bekerja, dan sebagainya. Cuti merupakan masa lapang, dan masa lapang amat digalakkan untuk kita merebutnya seperti sabda Rasulullah SAW, "Dan (rebutlah) masa lapang sebelum tiba masa sempit."


Cuti datang bersama satu musuh yang berbahaya jika kita tidak berwaspada dengannya. Demi mengendurkan ketegangan yang dialami akibat tugasan atau persekolahan, ramai menyalahgunakan masa lapang yang diberi oleh Allah ini dengan mengisi waktu cuti dengan perkara-perkara yang melalaikan. Masalah ini timbul disebabkan oleh salah faham terhadap konsep melepaskan tekanan ataupun 'tension release.'


Melepaskan tekanan tidak bererti melepaskan tanggungjawab kita sebagai hamba yang sentiasa terikat kepada kehendak Allah. Hubungan dengan Allah tidak boleh kita abaikan atas nama melepaskan tekanan. Seperti para pelajar yang bertindak melepaskan tekanan dengan bermain permainan komputer sehingga waktu solat hampir tamat. Seperti mereka yang menonton bola sehingga larut malam lalu solat fajar di luar waktu akibat terlajak tidur. Seperti mereka yang lupa membaca al-Quran sebaliknya hanya membaca komik dan majalah hiburan.


Hati manusia akan menjadi gelap dan keras sekiranya hubungan dengan Allah tidak dijaga. Antara cara yang boleh kita amalkan untuk menjaga dan meningkatkan hubungan kita dengan Allah sewaktu cuti adalah dengan mendampingi al-Quran. Nabi Muhammad SAW bersabda, "Sesungguhnya hati dapat membeku seperti besi." Lalu ditanyakan, "Bagaimana cara melembutkannya?" Baginda menjawab, "Membaca al-Quran dan mengingati mati (zikrul maut)."


Membaca al-Quran dengan penuh penghayatan dapat meningkatkan iman dan membersihkan hati. Iman dapat mewujudkan ketenangan jiwa seperti yang termaktub dalam firman Allah SWT dalam Surah al-Fath, 48: 4:



Maksudnya: Dialah (Allah) Yang memberi ketenangan ke dalam hati orang-orang Mukmin supaya bertambah lagi iman mereka di samping iman mereka (yang sedia ada).


Ayat ini merupakan bukti yang menunjukkan cara seharusnya bagi orang-orang Mukmin untuk melepaskan tekanan adalah dengan meningkatkan keimanan kepada Allah. Jika kita hendak merehatkan minda dengan hiburan, berhiburlah dengan hiburan yang membawa kita kepada Allah. Jika kita hendak melepaskan tekanan dengan membaca, carilah bahan bacaan yang santai tetapi boleh mendekatkan kita dengan Allah SWT.


Tidak semestinya kita perlu membaca buku agama yang tebal-tebal untuk meningkatkan keimanan kita. Sekiranya kita membaca buku-buku ilmiah yang memberi fakta-fakta sains, geografi, sejarah dan lain-lain sudah cukup untuk kita berhenti sejenak memikirkan kebesaran Allah SWT. Akan tetapi, ini tidak bermakna buku-buku fikrah boleh kita abaikan. Poinnya di sini ialah, bukan kuantiti bacaan kita yang penting, tetapi kualiti bacaan, penghayatan serta amalan. Para sahabat Rasulullah SWT hanya menghafal lima ayat al-Quran pada satu-satu masa dan mereka tidak berpindah ke ayat lain sehingga lima ayat yang pertama tersebut betul-betul meresap dalam hati mereka dan terzahir sebagai amalan. Praktis para sahabat ini boleh kita amalkan untuk membentuk hati kita supaya sentiasa terikat dengan Allah SWT. Sekalipun kita khatam al-Quran seminggu sekali ataupun menghabiskan sepuluh buku fikrah sepanjang cuti ini, semuanya tidak bermakna sekiranya kita tidak mengamalkan apa yang kita baca, lebih-lebih lagi jika amalan kita bertentangan dengan fikrah Islamiah.


Akhir kalam, manfaatkanlah waktu lapang dan janganlah kita mengabaikan tanggungjawab. Cuti tidak bermakna perlepasan daripada tanggungjawab, cuti hanyalah merupakan waktu persediaan untuk menerima tanggungjawab seterusnya. Sebagai pelajar, tanggungjawab kita ialah belajar untuk mendapatkan keredhaan Allah. Cuti persekolahan merupakan masa untuk mengulangkaji pelajaran yang lepas dan bersedia untuk menerima ilmu baharu pada semester seterusnya. Janganlah kita hampakan harapan yang mengharap kepada kita dan membakar hangus wang ringgit yang dilaburkan oleh ibu bapa kita.


Wallahua'lam.

Selasa, September 9

Ribuan Maaf


Assalamualaikum WBT.


Pertama sekali pihak editorial Fikruttaqwa memohon maaf kerana sudah lama tidak mengemas blog ini. Kami juga ingin meminta maaf kerana Fikruttaqwa tidak dapat kami terbitkan (buat masa ini) untuk semester kedua ini. Hal ini disebabkan kesemua penulis kami terdiri daripada Tingkatan 3, 4 dan 5 yang bakal mengambil peperiksaan PMR, SMA dan SPM tidak lama lagi. Oleh sebab itu, kami memohon maaf sekali lagi atas ketidakmampuan kami menerbitkan risalah bercetak mahupun online dalam semester kedua ini.


Bagi mereka yang berminat untuk menghantar artikel-artikel, kerjasama anda amat dialu-alukan. Hantarkan karya/hasil tulisan anda ke fikruttaqwa(at)yahoo(dot)com(dot)my. Jazakallah.


Selamat Berpuasa dan Beribadah, Ramadhan Karim!


Wassalam.


Ahad, Julai 20

Buat Saudaraku

oleh: Abdullah Muslim

Kadangkala, dalam keghairahan mencari redha Allah, jiwa kadang - kadang lesu tidak bermaya. Apabila ujian satu demi satu diberiNya hati mulai keluh kesah. Semakin kuat ujian semakin mula tersasar kita.

Mengapa? Jangan dibiarkan sahabatku saudaraku fillah yang ku cukup kasihi keranaNya. Gembirakanlah hatimu, ranapkan tahzanmu, garapkan keyakinanmu kepada janji Yang Maha menunaikan janji - Allah Tuhan Sekalian Alam, Dialah Pencipta, Dialah Pentadbir, Dialah Penguasa dan Dialah Pemelihara.

Ikhlaskan hatimu dalam menerima agamaNya. Kerana Dia cukup mengasihi hambaNya yg benar - benar ikhlas dalam memperhambakan dirimu kepadaNya. Redhalah dengan ujian yg diberi kepadaMu. Bersabarlah dengan ujian Tuhanmu, kerana janjiNya kepadamu terlalu banyak andai kamu bersabar.

:: Allah tidak mensia - siakan kebaikanmu dalam kesabaranmu..
“Dan bersabarlah kerana Allah tidak mensia - siakan pahala orang yang berbuat kebaikan”
Al - Hud: 115

:: Balasan syurga kepada golongan yang bersabar..
“Dan Dia memberikan balasan kepada mereka atas kesabaran mereka dengan syurga dan pakaian sutera”
Al - Insan: 12

:: Keselamatan ke atas mereka..
“Keselamatan ke atas kesabaran kamu maka alangkah baiknya tempat kesudahan itu”
Ar - Ra’du: 24

Maka bergembiralah dan bersabarlah. Raikanlah dugaan itu. Malah, setiap kelelahan kamu dalam meredah kepayahan, akhirnya kamu pasti juga akan bertemu dengan kesenangan.
Itulah janji Allah.

“Allah tidak akan memikulkan beban kepada seseorang melainkan sekadar apa yang dia dia mampu, Kelak Allah akan memberikan kelapangan sesudah kesempitan”
At - Talaq: 7

Sedarlah dirimu, ujian itu adalah yang terbaik buat dirimu. Maka janganlah lesu, janganlah goyah. Kerana kita tidak tahu, mungkin itu yang terbaik buat kita.

“Boleh jadi kamu membenci sesuatu sedangkan itu baik bagi kamu, dan padahal itu baik bagi kamu sedangkan kamu tidak mengetahui. Allah mengetahui sedangkan kamu tidak mengetahui”
Al - Baqarah: 216

Janganlah lesu saudaraku fillah. Kerana kita ada Allah, dan Dialah sebaik - baik Penolong.
Allah lah jua yang akan membantumu dengan sebenar - benar bantuan daripadaNya.

“Allah akan memberi pimpinan kepada mereka dan memperbaik keadaan mereka, dan memasukkan mereka ke dalam syurga yang telah diperkenalkanNya kepada mereka. Hai orang - orang yang beriman! Jika kamu menolong Allah, nescaya Dia akan menolong kamu dan meneguhkan kedudukanmu”
Muhammad: 5 - 7

Sahabatku yang dikasihi kerana ALLAH, usahlah bersedih lagi. Janganlah lesu dan layu dibiarkan terus membara. Kembalikanlah semangat juangmu utk keredhaan Allah. Apakah hatimu masih tidak gembira dengan janji Allah, yang tidak mampu untuk kunukilkan semuanya dalam laman maya ini. Berwudhu’lah, dan solatlah, dan berzikirlah, kerana hanya dengan itu hatimu kan tenang, resah kan kian kabur, masalahmu kan diselesaikan..

“Maka aku katakan kepada mereka, mohonlah ampun kepada Tuhan kalian, sesungguhnya Dia Maha Pengampu, nescaya Dia akan menurunkan hujan yang lebat kepada kalian”
Nuh: 10 - 11

Akhirul kalam , moga dirimu kan sentiasa diberi ketenangan dan kekuatan, dengan janji Allah yang Maha Agung. Moga janjiNya menggembirakan hatimu.. Insya Allah..

Khamis, Julai 17

Wahai Syabab...

Oleh: Ukhti in Islam


WAHAI SYABAB...




Pembangun ummah...
Usah mengundur ke belakang,
Tolehlah sesekali mengambil pengajaran,
Teruskan langkahmu...
Maju ke hadapan...
Anak bangsamu perlukan bimbingan...
Lupakan segala kesamaran..
Pulanglah pada hakikat
seorang INSAN bergelar PEJUANG...
Gagah berani...
Seteguh tembok Salahuddin al-Ayubi...
Megah membangun...
Bak istana Romawi dan Byzantin...
Sekukuh itulah tembok penghalang minda...
Kabur diliputi taasub berjelaga...
Terobosilah kejahilan... wahai syabab...
dengan CAHAYA kebenaran...
Langkahlah dengan penuh keBERANIan wahai syabab...
Membawa jiwa sarat impian...
Kedatanganmu amat dinanti-nantikan...
Menghambat kemunduran...
Menghapus kegelapan...
Bersama terang cahaya IMAN...
Aduhai syabab pewaris ummah...
Janganlah berlengah..
Janganlah membuang masa....
Bangunlah... bangunlah wahai pemuda...
Bangunlah wahai Salahuddin...
Bangunlah wahai Khalid al-Walid...
Bangunlah...
Teguhkan ISLAM di mata-mata manusia...
Yang kian terhakis
Akibat kerakusan mereka...
Mengejar bangkai dunia....
Yang tiada gunanya...

Rabu, Jun 18

Kemajuan dan Ketamadunan Diri

Oleh: Ahmad Ilman

Ketamadunan merupakan salah satu ciri istimewa yang dikurniakan kepada manusia yang membezakannya dengan sekalian makhluk yang lain. Perkataan tamadun itu diertikan serta ditafsirkan dengan berbagai-bagai makna yang berbeza. Menurut Barat yang mendefinisikan tamadun dari sudut materialistik mereka, satu masyarakat itu dianggap sebagai bertamadun apabila masyarakat tersebut mencapai kemajuan dari aspek fizikal seperti kemajuan peradaban, ekonomi, pembandaran (urbanisasi) dan sebagainya. Dalam Islam pula, konsep tamadun difokuskan kepada kemajuan aspek spiritual dan moral sesuatu masyarakat di mana kedua-dua aspek ini (spiritual dan moral) akan membuahkan kemajuan dari aspek fizikal. Nah, Islam merupakan ad-Din yang syumul yang menekankan kemajuan dari segenap aspek peradaban manusia.

Sebelum kita meneruskan perbicaraan, mari kita lihat sejenak apakah yang kononnya dikatakan negara "maju/bertamadun" itu. Mari kita ambil Amerika Syarikat, misalnya. Negara tersebut kelihatan amat maju, bertamadun dan moden. Bangunan pencakar langit boleh didapati di mana-mana sahaja. Kemajuan teknologinya kelihatan amat canggih dan tiada tandingan. Itu adalah pada luarannya. Mari kita bedah statistik jenayah negara yang dikatakan "maju" ini -- secara puratanya satu pembunuhan berlaku setiap 32 saat di AS, satu kes rogol setiap 5.6 saat, dan satu kes rompak setiap 1.3 saat. Di Jepun yang merupakan negara Asia yang paling maju teknologinya pula, kadar bunuh diri ialah 30, 000 orang setahun dan masih meningkat. Sekarang sudah tampak jelas: kemajuan fizikal semata-mata tidak cukup untuk mengukur tamadun manusia. Manusia memerlukan kemajuan dari aspek lain untuk mengimbangi semua modenisasi dan globalisasi dewasa ini.


Apakah erti tamadun yang sebenarnya? Tamadun ialah kemajuan yang seimbang dari aspek spiritual dan material, dengan penekanan diberikan kepada aspek spiritual. Kemajuan spiritual ialah asas bagi tamadun kerana kemajuan material bercambah daripada kemantapan iman. Ini telah dibuktikan oleh para cendekiawan Islam dahulu seperti Ibn Khaldun, al-Khawarizmi, Ibn Sina, Ibn Haitham, dan banyak lagi. Iman ialah lambang jati diri seseorang dan merupakan pendorong untuk manusia sentiasa memajukan diri menjadi insan yang lebih baik. Dikatakan bahawa sekiranya kita tidak tahu dari mana kita datang, kita tidak akan tahu ke mana kita sedang menuju. Dengan iman, kita akan kenal siapakah Pencipta kita. Kita akan tahu untuk apakah kita diciptakan. Dan kita akan tahu kepada siapa kita akan dikembalikan. Dengan iman, kita ada matlamat. Dengan matlamat, kita tidak akan sesat.


Untuk menjadi masyarakat yang terbaik, kita seharusnya berpegang teguh dengan tali iman yang dipegang oleh masyarakat yang terbaik di dunia -- dan masyarakat terbaik yang pernah dibangkitkan daripada kalangan manusia ialah Ummah Islam yang sebenarnya. Allah SWT berfirman dalam Surah Ali Imran ayat 110: "Kamu ialah umat yang terbaik yang dibangkitkan untuk kebaikan manusia, kamu mengajak kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran dan kamu beriman kepada Allah." Allah SWT telah menyatakan dengan jelasnya dalam ayat tersebut apakah ciri-ciri umat yang terbaik ini. Ciri-ciri ini telah dimanifestasikan dalam kehidupan para sahabat Rasulullah SAW yang ditarbiah oleh baginda sendiri sehingga menjadi "generasi al-Quran yang unik." Oleh itu, kita perlu mengambil contoh daripada kekuatan iman serta komitmen para sahabat dalam menjalankan amar makruf nahi mungkar untuk menjadi umat yang terbaik.


Marilah kita mengalihkan fokus kita kepada kemajuan dan ketamadunan diri. Individu merupakan komponen terkecil, pada masa yang sama komponen terpenting dalam sesebuah masyarakat. Individu yang terbaik pula ialah individu yang beriman dengan Allah SWT, mengajak manusia kepada kebaikan dan mencegah manusia daripada melakukan kemungkaran. Keimanan kepada Allah SWT merupakan asas bagi setiap perubahan positif yang Islamik. Mengajak kepada kebaikan (amar makruf) dan mencegah kemungkaran (nahi mungkar) pula dikategorikan sebagai amal salih dalam Islam. Kedua-dua perkara ini, yakni iman dan amal salih merupakan asas kepada kemajuan individu yang seterusnya. Sebagaimana yang kita maklum, frasa "mereka yang beriman dan beramal salih" sentiasa diulang-ulang dalam al-Quran menunjukkan prioritinya dalam membentuk individu-individu yang berjaya di dunia dan di akhirat.

Kita seharusnya menghentikan tabiat-tabiat yang tidak produktif seperti terlampau relaks, suka melepak, mengabaikan tanggungjawab dan sebagainya kerana tabiat-tabiat tersebut bukanlah sifat-sifat seorang Muslim yang ideal. Kita hendaklah mewujudkan budaya cinta akan ilmu pengetahuan. Rasulullah SAW ada bersabda: "Jadilah kamu orang berilmu, atau orang yang menuntut ilmu, atau orang yang mendengar ilmu, atau orang yang mencintai ilmu, dan janganlah kamu jadi orang yang kelima, nescaya kamu akan binasa." Ilmu juga meningkatkan martabat manusia di sisi Allah sepertimana yang telah tercatat dalam Surah al-Mujadalah ayat 11: "Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu serta orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan dengan beberapa darjat." Seorang Muslim sejati berpegang kepada satu prinsipyang menarik iaitu hari ini lebih baik daripada semalam dan esok lebih baik daripada hari ini. Seorang Muslim sejati memajukan serta meningkatkan dirinya selari dengan peredaran zaman.


Ketahuilah, setiap insan mempunyai potensi untuk berjaya. Sesungguhnya Allah itu Maha Adil. Kita cuma perlu meneroka dalam bidang apa kita boleh berjaya -- boleh jadi dalam bidang akademik, sukan, penulisan, pertanian, dll -- tetapi bidang tersebut mestilah bidang yang boleh memanfaatkan Islam. Untuk berjaya, kita perlu akan usaha dan pengorbanan. Allah SWT telah berfirman dalam Surah ar-Ra'd ayat 11: "Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum sehinggalah mereka mengubah nasib mereka sendiri." Oleh sebab itu, kita tidak seharusnya hanya melepak dan membuang masa. Sesungguhnya tanggungjawab yang kita pikul jauh lebih banyak daripada masa yang kita ada. Marilah kita mengubah diri kita, bermula sekarang!


Hayya alal Falah!

Jumaat, Mei 30

Fikruttaqwa Mei


Assalamualaikum WBT.


Pertama sekali saya ingin memohon maaf atas keterlewatan memuat naik Fikruttaqwa Mac Versi Cetakan. Sekarang semua bahan yang boleh dimuat naik telah dimuat naik, alhamdulillah. Anda boleh mengklik ruangan "Fikruttaqwa Mac" untuk memaparkan pos-pos FaTa Mac sahaja.


Disebabkan ramai yang masih tidak mengetahui, saya ingin mengumumkan bahawa Fikruttaqwa Mei Versi Cetakan telah pun berada dalam pasaran. Buletin kami yang mempunyai 20 muka surat ini dimuatkan dengan berbagai-bagai ruangan eksklusif berkaitan peperiksaan seperti doa-doa, petua belajar, serta ruangan temu ramah yang eksklusif. Diharapkan warga SMiK boleh menyediakan wang sebanyak RM 1.50 selepas cuti untuk mendapatkan senaskhah (atau lebih) daripada ejen pemasaran kami.


Barakallah fikum. Wasalam.


Laporan BBM

Oleh: Syed Syaffiq


Pada Januari 2008, AJK-AJK tertinggi Persatuan Bahasa Melayu (PBM) telah mengadakan mesyuarat tentang Bulan Bahasa Melayu (BBM) yang akan berlangsung pada 11 Februari-17 Mac 2008. Mesyuarat tersebut dihadiri oleh pengerusi persatuan (Nur Muhammad Muhsin Mahmud), setiausaha, bendahari, serta AJK-AJK kelas PBM putera dan puteri. Hasil daripada mesyuarat tersebut, maka berlangsunglah dengan jayanya Bulan Bahasa Melayu 2008. Projek ini dinasihati oleh guru penasihat PBM, dan dinaungi oleh Tuan Pengetua SMiK, Ustaz Yazib bin Noh.


Antara aktiviti-aktiviti yang dilakukan oleh PBM dalam BBM ialah pidato, Bahas Ala Parlimen, drama, kuiz kosa kata, teka silang kata, wajar bahasa, dan susun perkataan telah berjaya dilakukan dengan berjaya sekali dengan bantuan AJK-AJK Persatuan Bahasa Melayu.


Ahli-ahli yang terlibat dalam menjayakan Bulan Bahasa Melayu ialah Nur Muhammad Muhsin Mahmud, Syed Syaffiq Taqiuddin, Nuruddin, Syed Hassan Humaidi, Ibrahim, Faruq, Luqman Syukri, Salam, Mughirah, AJK-AJK PBM puteri dan semuanya merangkap AJK-AJK tertinggi Persatuan Bahasa Melayu 2008.


Pada 17 Mac 2008, Isnin, penutup Bulan Bahasa Melayu telah berjalan dengan lancar sekali dan pada keseluruhannya para pemenang berpuas hati dengan hadiah dan hasil usaha kerja mereka.


Akhir kalam, pihak pengurusan Bulan Bahasa Melayu memohon maaf diatas segala kesilapan yang berlaku sepanjang Bulan Bahasa Melayu berlangsung. Sesungguhnya, manusia hanya merancang tetapi Allah s.w.t yang berkuasa menetukan segala-galanya.


Yang benar,


(SYED SYAFFIQ TAQIUDDIN BIN SYED MUSTAFA)
Setiausaha,
Persatuan Bahasa Melayu,
Sekolah Menengah Ibn Khaldun.