Isnin, April 28

Interpretasi Cinta

Oleh: Ryuuzaki'93


Alhamdulillah, puji dan syukur ke hadrat Allah SWT; pemilik sekalian alam yang telah melemparkan perasaan cinta ke dalam hati kita.


Firman Allah SWT kepada orang-orang Mukmin:


Dia mencintai mereka dan mereka pun mencintai-Nya. (Al-Maidah, 54)


Apakah sebenarnya interpretasi cinta? Menurut Kamus Dewan, perkataan "cinta" boleh didefinisikan dan diinterpretasikan sebagai perasaan atau berperasaan sangat sayang kepada sesuatu. Contohnya mata kita yang mencintai bentuk-bentuk yang indah dan telinga yang mencintai muzik. Manakala erti cinta dalam kerangka Allah (hubb fiLLAH) ialah mencintai sesuatu yang pada akhirnya mengarah pada apa yang dicintai Allah. Kita seharusnya mencintai sesuatu bukan dengan alasan diri sendiri tetapi kerana adanya sifat-sifat yang dicintai oleh Allah SWT sendiri. Contohnya kita mencintai Rasulullah kerana Allah mencintai baginda dan memang Dia memerintahkan kita untuk mencintai baginda.


Ramai dalam kalangan kita mengakui bahawa cinta kepada Allah ialah satu kewajipan. Namun, sayang sekali jika mereka hanya menjadikannya sebagai gincu di bibir-sekadar perhiasan tanpa berusaha menghayatinya. Ya, benar. Kecintaan kepada Allah dengan sebenar-benar kecintaan ialah sesuatu yang langka dan tak semudah yang kita lafazkan dan sangkakan; tetapi sedarlah, ia bukan sesuatu yang mustahil.


Sabda Nabi SAW:


Sebelum seseorang mencintai Allah dan Nabi-Nya lebih daripada mencintai yang lain, ia tidak memiliki keimanan yang benar.


Dan ayat-ayat cinta yang diajar Nabi kepada para sahabat:


Ya Allah, berilah aku kecintaan kepada-Mu dan kecintaan kepada orang-orang yang mencintai-Mu dan apa saja yang membawaku mendekat kepada cinta-Mu. Jadikanlah cinta-Mu lebih berharga bagiku daripada air dingin bagi orang-orang yang kehausan.


Sabda dan doa Nabi di atas menunjukkan betapa cinta kepada Rabb bukan saja satu keperluan bahkan kewajipan bagi setiap Muslim. Seseorang yang mencintai Allah akan mengaitkan seluruh kehidupannya di dunia ini dengan Allah. Hal ini menjungkirbalikkan ideologi-ideologi kafir yang mengatakan bahawa kehidupan dan agama tidak mungkin bergerak seiring dan sejalan. Mereka (golongan yang mencintai Allah) turut menyedari bahawa Allah SWT lebih dekat dengan diri mereka berbanding diri mereka sendiri.


Sebab-sebab untuk kita mencintai Allah:



  1. Kesempurnaan penciptaan diri kita. Kita harus sedar bahawa semua yang ada pada diri kita ialah anugerah Allah. Wujudnya kita di muka bumi ini adalah dengan izin Allah. Fikirkan: aneh tak jika seseorang mencari perlindungan daripada terik mentari di bawah bayangan sebuah pohon tetapi dia tidak berterima kasih pada pohon itu? Situasi ini adalah sama seperti sebahagian manusia yang tidak pernah bersyukur kepada Allah yang menyebabkan wujudnya manusia itu.

  2. Hanya Allah-lah satu-satunya yang berjasa kepada manusia kerana segala kebaikan yang mereka peroleh daripada sesama manusia disebabkan dorongan serta kehendak Allah SWT.

  3. Sifat-sifat, kebijaksanaan dan kekuasaan-Nya yang tidak terbanding. Allah berfirman kepada Nabi Daud AS: "Abdiku yang paling cinta kepada-Ku ialah yang tidak mencari-Ku kerana takut untuk dihukum, tak berharap mendapatkan pahala, tetapi hanya untuk membayar hutangnya kepada ketuhanan-Ku."


Tuntasnya, di sana ada terlalu banyak sebab untuk kita menjadikan Allah sebagai Nur-ul-Ain (kekasih) - dan pengetahuan tentang-Nya (makrifatullah) yang sempurna mestilah disokongi dengan penyerahan dan ibadah. To love Allah is to know Him. Ingatlah, sesungguhnya cinta yang baik merupakan benih kebahagiaan. Wallahua'lam.

Sabtu, April 26

Lelaki Acuan al-Quran

Oleh: Ukhti in Islam

Lelaki acuan al-Quran ialah seorang lelaki beriman:

  • Yang hatinya disaluti rasa takwa kepada Allah
  • Yang sentiasa haus akan ilmu
  • Yang sentiasa dahaga akan pahala
  • Yang solatnya ialah maruah dirinya
  • Yang tidak pernah takut berkata benar
  • Yang tidak gentar melawan nafsu

Lelaki acuan al-Quran ialah lelaki yang menjaga tutur katanya:

  • Yang tidak bermegah dengan ilmu yang dimiliki
  • Yang tidak bermegah dengan harta dunia yang dicari
  • Yang sentiasa berbuat kebaikan kerana sifatnya penyayang
  • Yang mempunyai ramai kawan dan tidak mempunyai musuh bersifat jembalang

Lelaki acuan al-Quran ialah lelaki yang menghormati ibunya:

  • Yang sentiasa berbakti kepada org tuanya dan keluarga
  • Yang bakal menjaga keharmonian rumah tangga
  • Yang akan mendidik anak mendalami agama Islam
  • Yang mengamalkan hidup dengan kesederhanaan kerana dunia baginya rumah sementara menunggu akhirat.

Lelaki acuan al-Quran sentiasa bersedia untuk agamanya:

  • Yang hidup di bawah naungan al-Quran dan mencontohi sifat Rasulullah SAW
  • Yang boleh diajak berbincang dan berbicara
  • Yang sujudnya dengan penuh kesyukuran beserta rahmat Allah SWT

Lelaki acuan al-Quran tidak pernah membazirkan masa:

  • Yang matanya kepenatan kerana kuat membaca
  • Yang suaranya lesu kerana penat mengalun ayat al-Quran dan berzikir
  • Yang tidurnya lena dengan cahaya keimanan
  • Yang bangun subuh dengan kesyukuran dan rahmat Allah SWT
  • Kerana sehari lagi usianya bertambah penuh kemalangan

Lelaki acuan al-Quran sentiasa mengingati mati:

  • Yang baginya dunia adalah ladang akhirat
  • Yang mana buah kehidupan ini perlu dibaja dan dijaga
  • Meneruskan perjuangan Islam sebelum hari kemudian

Lelaki acuan al-Quran ialah lelaki yang tidak terpesona dengan buaian dunia…
Kerana dia mengimpikan syurga - di situlah rumah impiannya… Dialah "lelaki acuan al-Quran."

Ukhuwah Tunjang Kekuatan Ummah

Oleh: Ahmad Ilman


Mencintai sesama Mukmin dan mengikat ukhuwah (persaudaraan) merupakan satu tuntutan syarak yang sangat penting. Ukhuwah bererti keterikatan hati dan jiwa antara seorang Mukmin dengan yang lainnya dalam konteks akidah Islamiah. Allah SWT berfirman dalam surah al-Hujurat ayat 10 yang mafhumnya: "Sesungguhnya orang-orang Mukmin adalah bersaudara."


Seorang Mukmin yang mencintai Mukmin yang lain semata-mata kerana Allah dan rasul-Nya akan dapat mengecapi kemanisan iman (halawatul iman), insya-Allah. Ukhuwah sesama Mukmin itu merupakan satu nikmat agung yang dikurniakan Allah SWT sebagaimana yang dijelaskan oleh-Nya dalam surah al-Anfal ayat 63 yang bermaksud: "Dan Yang mempersatukan hati mereka (orang-orang beriman). Walaupun kamu membelanjakan semua (kekayaan) yang berada di bumi, nescaya kamu tidak dapat mempersatukan hati mereka, akan tetapi Allah telah mempersatukan hati mereka. Sesungguhnya Dia Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana."


Ukhuwah Islamiah berbeza dengan ukhuwah jahiliah. Ukhuwah Islamiah disandarkan atas dasar akidah Islam yang suci. Oleh sebab persaudaraan yang dibina adalah kerana keikhlasan diri Mukmin kepada Allah dan rasul-Nya, ikatan ini jauh lebih kuat daripada ukhuwah jahiliah yang lebih materialistik. Persaudaraan yang berasaskan harta, bangsa, parti politik, tanah air, dan sebagainya amat rapuh dan akan binasa kerana ia tidak mempunyai matlamat yang jelas. Matlamat ukhuwah Islamiah yang hakiki dapat dilihat daripada prinsipnya iaitu dua orang yang saling mencintai dan mereka tidak saling mencintai melainkan kerana Allah dan rasul-Nya - inilah ikatan yang erat.


Ukhuwah Islamiah merupakan bentuk perhubungan paling unggul yang boleh dicapai antara manusia. Perhubungan ini dari satu sudut jauh lebih erat daripada hubungan kekeluargaan kerana ikatan akidah itu lebih utuh daripada pertalian darah. Hal ini boleh dilihat daripada dialog Nabi Nuh:


"Wahai Tuhanku, sesungguhnya anakku termasuk dalam keluargaku, dan sesungguhnya janji Engkau itulah yang benar. Dan Engkau adalah Hakim Yang Seadil-adilnya." [Surah Hud: 45]


Lalu Allah SWT menjawab:


"Wahai Nuh, sesungguhnya dia bukanlah termasuk dalam keluargamu (yang dijanjikan akan diselamatkan). Sesungguhnya (perbuatannya) itu adalah perbuatan yang tidak baik. Oleh sebab itu, janganlah kamu memohon kepada-Ku sesuatu yang kamu tidak mengetahuinya. Sesungguhnya Aku memperingatkan kepadamu supaya kamu jangan termasuk orang-orang yang tidak berpengetahuan." [Surah Hud: 46]


Kedudukan mereka yang saling mencintai kerana Allah adalah amat tinggi di sisi-Nya. Mereka akan mendapat naungan Allah pada hari yang tidak ada naungan selain naungan-Nya. Allah berfirman dalam sebuah hadis Qudsi yang diriwayatkan oleh Imam Muslim:


"Di manakah orang-orang yang berkasih sayang kerana kemuliaan-Ku? Pada hari ini (hari akhirat) Aku perlindungi mereka di bawah naungan-Ku pada hari tiada lagi naungan kecuali naungan-Ku."


Firman Allah dalam sebuah lagi hadis Qudsi yang diriwayatkan oleh Imam At-Tirmizi:


"Orang-orang yang saling mencintai kerana keagungan-Ku akan diberikan padanya mimbar-mimbar dari cahaya yang dicemburui (ghibtah) oleh para nabi dan syuhada."


Salah satu contoh yang menunjukkan kepentingan ukhuwah ialah ketika peristiwa hijrah ke Madinah. Perkara pertama yang dilakukan Rasulullah SAW sesampainya baginda di Madinah ialah mendirikan masjid yang melambangkan ketaqwaan kepada Allah SWT. Seterusnya, baginda SAW mempersaudarakan antara Muhajirin dan Ansar. Hal ini merupakan bukti kukuh bahawa menjalinkan ukhuwah itu amat penting dalam Islam dan ia merupakan asas kepada kerja-kerja dakwah yang lain.


Contohilah ukhuwah yang ditunjukkan oleh golongan Ansar kepada Muhajirin - mereka sanggup berkorban makanan, pakaian, tempat tinggal, malah isteri mereka untuk saudara mereka orang-orang Muhajirin. Inilah yang dikatakan mencintai saudara kerana Allah dan rasul-Nya. Matlamat mereka tidak lain tidak bukan adalah untuk mendapat mardhatillah semata-mata.


Ukhuwah Islamiah dengan jelas, terang dan nyata menjadi asas kepada perpaduan umat Islam. Rasulullah SAW pernah bersabda yang diriwayatkan oleh Imam Muslim:


"Perumpamaan orang-orang Mukmin dalam kasih sayang mereka, dalam rahmat-merahmati mereka, dalam kemesraan sesama mereka, adalah seperti satu tubuh; apabila mengadu sakit salah satu anggota daripadanya, maka seluruh tubuh bersahut-sahutan baginya dengan jaga dan demam."


Hadis Rasulullah SAW ini juga diterangkan oleh misalan ranting kayu - satu ranting amatlah mudah dipatahkan, tetapi seberkas ranting yang diikat bukan sahaja payah untuk dipatahkan, malah sukar untuk dibengkokkan. Bidalan ini juga disebut oleh para cerdik pandai Melayu sebagai "bersatu teguh, bercerai roboh."


Dalam realiti kehidupan masa kini, jika perhubungan ukhuwah Islamiah itu masih dipelihara dengan sebenar-benarnya sebagaimana yang dikehendaki agama, maka semua negara Islam akan merasai keperitan yang dihadapi oleh negara Palestin. Ketua-ketua negara Islam akan membantu rakyat Palestin tanpa menghiraukan ancaman yang datang dari Amerika dan Yahudi. Hal ini disebabkan jika semua negara Islam bersatu, kuasa-kuasa Barat tidak dapat melakukan apa-apa.


Dalam skop yang lebih kecil, jika perhubungan Islamiah ini dijaga di sekolah, sama ada dengan rakan sekelas, para senior, adik-adik, guru-guru, serta warga sekolah lain, kita akan dapat menyaksikan suasana harmoni di sekolah. Segala yang diucapkan ialah perkataan yang baik maka pergaduhan tidak berlaku serta prasangka buruk boleh dielakkan.


Sebagai contoh, kita akan melihat suasana abang/kakak memberi tauladan yang baik kepada adik-adik, dan adik-adik pula akan memberi rasa hormat kepada yang lebih tua. Keadaan utopia ini boleh wujud jika Islam itu diamalkan dan pengaruh-pengaruh negatif dari luar akan menjadi susah untuk masuk disebabkan wujudnya rasa tanggungjawab dalam diri setiap individu untuk mencegah saudaranya daripada bermaksiat kepada Sang Pencipta. Oleh sebab itu, kita harus menjaga ukhuwah ini supaya kita dapat mewujudkan bi'ah solehah (suasana yang soleh) dalam sekolah kita.


Hayatilah sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim:


"Jagalah diri kamu dari berprasangka, kerana sesungguhnya prasangka itu adalah perkataan yang paling dusta dan janganlah kamu sengaja mencari-cari kesalahan. Janganlah kamu intip mengintip, janganlah kamu berlumba-lumba mengatasi saudaramu dan janganlah berdengki-dengkian, janganlah benci-membenci dan janganlah kamu pulau-memulaukan. Dan jadilah kamu hamba-hamba Allah yang bersaudara."


Jagalah diri kita daripada melakukan perbuatan-perbuatan yang boleh merosakkan ukhuwah sepertimana yang diterangkan dalam hadis di atas. Ukhuwah itu merupakan satu nilai yang amat penting yang harus dipelihara oleh setiap daripada kita kerana ukhuwah itu bukan boleh ditemukan di jalanan, ukhuwah itu bukan boleh dibeli dengan harta sebanyak mana pun, tetapi ukhuwah itu merupakan nikmat kurniaan Allah seperti yang diterangkan dalam firman-Nya surah al-Anfal ayat 63.


Kerajaan Islam zaman dahulu amat kuat dan digeruni oleh musuh-musuh Islam kerana wujudnya khalifah-khalifah yang berkaliber dan ukhuwah antara umat Islam yang amat kuat. Wujudnya perpaduan yang kukuh itu disebabkan umat Islam bernaung di bawah satu kerajaan sahaja, bukannya kerajaan yang berpecah-pecah. Demi mengalahkan Islam, Barat mengambil inisiatif memecahbelahkan negara umat Islam yang satu menjadi puluhan negara kecil yang lemah bak ranting seperti Arab Saudi, Jordan, Syria, dan sebagainya pada awal abad ke-20. Hal ini secara langsung membawa kepada kejatuhan kerajaan Islam Uthmaniah pada tanggal 3 Mac 1924.


Marilah kita renung-renungkan: kesatuan umat Islam itu amat ditakuti dan digeruni oleh musuh-musuh Allah. Mereka menyedari bahawa perhubungan ukhuwah Islamiah itu merupakan sesuatu yang luar biasa dan berkuasa. Mereka mewujudkan "ukhuwah" mereka sendiri yang mempunyai satu matlamat: menghancurkan Islam. Selagi Islam tidak pupus, selagi itu mereka akan bekerjasama. Islam akan terus wujud hingga ke akhir zaman, begitu jua pakatan mereka untuk melenyapkan deen ini. Oleh sebab itu, adalah tidak wajar sekiranya kita sebagai umat Islam berpecah belah dan saling memusuhi antara satu sama lain. Perpaduan dan ukhuwah kita adalah tunjang kekuatan Ummah ini.


Sebagai pengakhirnya, hayatilah hadis Qudsi berikut yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad:


"Cinta-Ku mesti bagi orang-orang yang saling mencintai kerana Aku; cinta-Ku mesti bagi orang-orang yang saling bersilaturahim kerana Aku; cinta-Ku mesti bagi orang-orang yang saling menasihati kerana Aku; cinta-Ku mesti bagi orang-orang yang saling mengunjungi kerana Aku; cinta-Ku mesti bagi orang-orang yang saling memberi kerana Aku."


Wallahua'lam.



Technorati : , , ,

Selasa, April 22

Menceritakan Kisah Tidak Sahih atas Nama Dakwah

Disunting daripada: http://www.fatwa-online.com


Soalan: Apakah hukum menceritakan sesuatu kisah yang pernah saya dengar -- tetapi tidak pasti akan kesahihannya -- atas nama menyampaikan dakwah, begitu juga apakah hukum menceritakan kisah-kisah yang saya tahu ia palsu? Dan apakah pula hukum meriwayatkan hadis yang saya tidak tahu ianya sahih atau daif?


Jawaban: Adalah tidak dibenarkan bagi sesiapa -- sama ada dia merupakan tukang cerita mahupun pemberi nasihat -- untuk meriwayatkan sesuatu hadis dan mengatakannya bahawa ia merupakan sabda Rasulullah SAW sedangkan dia tidak mengetahui kesahihannya. Juga tidak harus meriwayatkan hadis yang dia sendiri mengetahui bahawa ia merupakan hadis yang lemah (melainkan disebut tentang kelemahannya). Manakala, sekiranya dia meriwayatkan hadis untuk mempamerkan kelemahan (sanad) hadis tersebut dan memberi peringatan kepada manusia tentangnya, maka hukumnya adalah wajib.


Sama juga, dia juga tidak harus menceritakan kisah-kisah yang dia merasakan sesuai tanpa melihat kepada kesahihan cerita tersebut. Dia juga tidak patut menceritakan kisah-kisah yang dia tahu adalah palsu, kerana ia bererti ia berlaku tidak jujur dan menipu manusia.


Oleh: Syeikh Ibn Uthaymeen,
As-Sahwah al-Islaamiyyah - Soalan 5, muka surat 105.


Ini sebagai satu peringatan kepada kita semua. Ana melihat, alhamdulillah, sahabat-sahabat ada menerbitkan artikel-artikel serta kisah-kisah Islam di Internet seperti di Friendster Bulletin, blog dan sebagainya, tetapi seharusnya kita memastikan kesahihan bahan yang kita terbitkan itu. Hal ini demikian kerana kita takut sekiranya apa yang kita terbitkan merupakan hadis-hadis atau kisah-kisah Israiliyat yakni kisah-kisah yang direka oleh orang Yahudi. Bahan-bahan sebegini akan mencemarkan kesucian Islam. Diharapkan agar sahabat-sahabat akan lebih prihatin dalam menyampaikan dakwah Islamiah yang suci ini, insya-Allah. Sebaik-baiknya, sertakan sumber dari mana kita mendapat bahan tersebut (nama perawi/status hadis/nama buku/alamat laman web/dll). Semoga kita sentiasa berada di bawah hidayah dan naungan-Nya. Wallahua'lam.

Selasa, April 15

Dulu dan Kini...

Oleh: Ukhti in Islam

Dulu...
Aku hilang dalam kegelapan,
yang kelamnya mengalahkan gelita malam,
penuh ketakutan,
kebingungan,
dan gundah yang berpanjangan,
teraba-raba...
walhal mata ini tidak buta,
bahkan ia adalah nikmat nista dunia...

Dulu...
Aku diselubungi kesunyian yang mencengkam,
di dasar kalbu yang dalam...
sesungguhnya...
ada rindu pada simfoni cinta...
walhal aku tidak peduli...
telinga ini bisa mendengar hingar bingar,
bisikan syaitan penghancur iman...

Dulu...
aku terbungkam kebisuan,
lidahku kelu...
tidak pernah melantunkan ayat-ayat-Mu,
walhal aku tidak bisu...
bibir ini terus berbicara...
penuh dusta,
kesombongan...
dan kemunafikan...
tubuhku dulu bagai lumpuh,
setiap langkah menuju kemaksiatan,
setiap sentuhan menyakiti hamba Tuhan,
setiap gerakan mencerminkan kezaliman...

Namun...
ketika itulah Kau sentuh mata dan hatiku...
agar kulihat agungnya kebesaran-Mu...
ya Sami'...
Kau izinkan 'ku mendengar indahnya simfoni kasih-Mu...
pedoman hidupku...
ya Allah...
Kau basuh lidahku...
hingga diri ini mampu menemani bulan dan bintang,
berzikir pada-Mu...
ya Kabir...
ya Latif...
melalui kelembutan-Mu...
ragaku mulai mampu bersujud pada-Mu,
dekatkanlah daku selalu pada-Mu...
sirami hati daku dengan kesejukan-Mu...
lindungilah daku dengan keperkasaan-Mu...
selubungi jiwa dan ragaku dengan kasih-Mu...

Bahasa Arab Bahasa Kita

Oleh: Ahmad Ilman


Bahasa bererti simbol suara yang dipakai sebagai alat perhubungan dalam lingkungan satu kelompok manusia. Dalam konteks kita, bahasa merupakan salah satu alat yang paling penting dalam menyampaikan dakwah kepada umat manusia. Rasulullah SAW pernah bersabda yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari:


بلغوا عني ولو آية


Maksudnya: "Sampaikanlah daripadaku walaupun satu ayat."


Bagaimanakah kita hendak melaksanakan tuntutan di atas sedangkan kita sendiri tidak memahami dengan sepenuhnya kalam-kalam yang dituturkan Nabi kita SAW? Bagaimanakah kita mengatakan kita memahami al-Quran dan hadis dengan hanya membaca terjemahannya sahaja sedangkan kita tidak mampu memahami bahasa asal teks itu diperturunkan? Dengan ini, kita dapat membuat kesimpulan bahawa kita wajib mempelajari bahasa al-Quran dan as-Sunnah -- bahasa Arab.


Bahasa Arab ialah bahasa yang unik dan kompleks. Ia tidak dapat diterjemahkan dengan tepat ke dalam bahasa lain. Antara contohnya ialah perkataan "alaqah" yang mempunyai tiga maksud iaitu darah beku, benda yang tergantung, dan juga lintah. Al-Quran menggunakan istilah ini untuk mendefinisikan embrio (janin) yang terbentuk daripada darah beku, tergantung di dinding rahim dan berbetuk seperti lintah. Tidak ada bahasa lain dalam dunia yang mampu mendeskripsikan embrio sejitu al-Quran yang berbahasa Arab.


Apakah kepentingan kita berbahasa Arab? Selain membolehkan kita memahami al-Quran dan hadis, berbahasa Arab membantu membentuk peribadi kita. Ibn Taimiyah berkata, "Penggunaan bahasa memberikan kesan mendalam terhadap pemikiran, tindakan, juga kepada komitmen seseorang dalam beragama. Ia juga mempengaruhi persamaan kita dengan generasi awal Ummah ini, para sahabat dan tabi'in. Percubaan mengikuti mereka (dalam berbahasa) akan memeperbaik pemikiran dan tindakan seseorang serta komitmen bergamanya."


Di samping itu, pada zaman kegemilangan umat Islam dahulu, bahasa Arab merupakan lingua franca saintis-saintis Muslim. Hal ini memudahkan komunikasi ilmu dan maklumat dapat disampaikan dengan mudah tanpa bantuan penterjemah. Ini merupakan antara faktor kegemilangan tamadun Islam dari segi sains dan teknologi di samping para saintisnya yang bertaqwa kepada Allah.


Pelajarilah bahasa Inggeris supaya kita dapat maju dan moden di dunia ini. Dalamilah bahasa Arab supaya kita dapat maju dan moden di dunia ini dan negeri Akhirat, insya-Allah. Berbanggalah dengan bahasa Arab, bukan kerana atas dasar suka-suka atau burung kakak tua, atau seperti mana mereka yang berbangga dengan bahasa Melayu atas dasar nasionalisme, akan tetapi kerana bahasa Arab itu adalah bahasa Deen kita, bahasa syurga, bahasa al-Quran. Angkatlah kepala kita dan laungkan: "Deen saya ada bahasanya, dan bahasa itu ialah bahasa Arab!"