Jumaat, September 14

Antara Hati dan Bekas Arang

Assalamualaikum WBT. Tahiyyatun Tayyibatun Wa Ba'd.

Ana ada satu kisah pendek yang suka ana kongsikan dengan antum semua, walaupun ramai yang dah tahu akan kisah ini kerana sudah disebarkan di Friendster…

Alkisah, ada seorang tua menyuruh cucunya membaca al-Qur’an. Cucunya berkata, “Buat apa saya nak baca, bukan saya faham apa-apa yang saya baca pun.” Orang tua itu tidak memarahi cucunya, sebaliknya dia menyuruh cucunya itu mengambil sebuah bekas yang selalu digunakannya untuk mengisi arang.

“Atuk nak buat apa dengan bekas ni?” tanya cucunya. Orang tua itu berkata, “Kamu bawa bekas ini ke sungai, dan bawakan air sungai itu kepada Atuk dengan bekas ni. Lekas, ya.” Cucunya pun menurut saja kata-kata datuknya. Akan tetapi, apabila dia menceduk air sungai tersebut, air tidak tinggal di dalam bekas tersebut kerana bocor. Cucunya itu kembali kepada orang tua itu dan mengkhabarkan perkara tersebut. Tapi orang tua itu menyuruh lagi. Budak itu menceduk air sungai berulang-ulang kali tetapi masih tidak berjaya.

“Tak bolehlah, tuk, dah bocor,” rungut cucunya itu. Orang tua itu menyuruh cucunya melihat ke dalam bekas itu. Bekas yang dahulunya kotor kerana arang sekarang sudah suci bersih. Orang tua itu kemudian berkata, “Lihat bekas itu. Dahulu Datuk selalu menggunakannya untuk membawa arang sehingga ia menjadi kotor. Kamu bawa ia ke sungai untuk mengisi air, tetapi tak dapat. Walaupun begitu, perbuatan kamu itu telah membersihkan bekas tersebut,” Budak kecil itu masih terpinga-pinga. “Begitu jualah hati manusia. Walaupun kamu membaca al-Qur’an tetapi tidak memahaminya, ketahuilah bahawa ia sesungguhnya akan menyucikan hati kamu walaupun kamu tidak memahami pengajaran dalamnya.”

Oleh itu, banyakkanlah membaca al-Qur’an, terutamanya dalam bulan Ramadhan yang mulia ini. Walaupun kita tidak faham akan bahasa Arab, pembacaan al-Qur’an sebenarnya memberikan kesan kepada hati kita. Cuba fahami apa yang terkandung dalam Kitabullah, kerana itu adalah lebih baik daripada hanya membacanya.

Ps: Cerita di atas mungkin telah diubah sedikit daripada versi asalnya.

Wassalam WBT.

Khamis, September 13

Fikruttaqwa: Satu Kelahiran

oleh: Akhi Hanif (Ketua Editor FaTa 2007)

Assalamualaikum WBT. Segala puji bagi Allah, Penguasa Alam Semesta; selawat dan salam ke atas junjungan besar, penghulu sekalian Nabi dan Rasul, Muhammad ibn Abdillah SAW; juga ke atas keluarga serta sekalian sahabat baginda serta mereka yang turut bersama baginda hingga ke akhir hayat.

Alhamdulillah, dengan izin Allah serta inayah-Nya, dapat kita menatap satu buletin terbaru terbitan Kelab Penerbitan Sekolah Menengah Ibn Khaldun; Fikruttaqwa (FaTa). Pembikinan buletin ini bertujuan untuk melahirkan sebuah generasi pemikir Islam yang bertaqwa dalam kalangan pelajar SMiK sendiri.

Sidang Editorial juga amat mengharapkan buletin ini menjadi satu wadah da’wah dan tarbiyah yang bakal melahirkan warga SMiK yang berkeperibadian Muslim, sepertimana yang dikehendaki Allah SWT. Sehubungan dengan itu, diharapkan agar semua bahan yang dimuatkan seperti artikel, doa, nukilan pelajar, dan lain-lain dapat kita kongsi dan manfaatkan demi melaksanakan kebaikan di jalan Allah SWT.

Akhir kalam, diingatkan bahawa segala usaha dan pengorbanan yang dilakukan untuk menghasilkan buletin ini hanyalah kerana Allah, dan kekuatan untuk menerbitkan terbitan ini tidak lain dan tidak bukan datangnya daripada Allah SWT semata-mata.