Jumaat, September 14

Antara Hati dan Bekas Arang

Assalamualaikum WBT. Tahiyyatun Tayyibatun Wa Ba'd.

Ana ada satu kisah pendek yang suka ana kongsikan dengan antum semua, walaupun ramai yang dah tahu akan kisah ini kerana sudah disebarkan di Friendster…

Alkisah, ada seorang tua menyuruh cucunya membaca al-Qur’an. Cucunya berkata, “Buat apa saya nak baca, bukan saya faham apa-apa yang saya baca pun.” Orang tua itu tidak memarahi cucunya, sebaliknya dia menyuruh cucunya itu mengambil sebuah bekas yang selalu digunakannya untuk mengisi arang.

“Atuk nak buat apa dengan bekas ni?” tanya cucunya. Orang tua itu berkata, “Kamu bawa bekas ini ke sungai, dan bawakan air sungai itu kepada Atuk dengan bekas ni. Lekas, ya.” Cucunya pun menurut saja kata-kata datuknya. Akan tetapi, apabila dia menceduk air sungai tersebut, air tidak tinggal di dalam bekas tersebut kerana bocor. Cucunya itu kembali kepada orang tua itu dan mengkhabarkan perkara tersebut. Tapi orang tua itu menyuruh lagi. Budak itu menceduk air sungai berulang-ulang kali tetapi masih tidak berjaya.

“Tak bolehlah, tuk, dah bocor,” rungut cucunya itu. Orang tua itu menyuruh cucunya melihat ke dalam bekas itu. Bekas yang dahulunya kotor kerana arang sekarang sudah suci bersih. Orang tua itu kemudian berkata, “Lihat bekas itu. Dahulu Datuk selalu menggunakannya untuk membawa arang sehingga ia menjadi kotor. Kamu bawa ia ke sungai untuk mengisi air, tetapi tak dapat. Walaupun begitu, perbuatan kamu itu telah membersihkan bekas tersebut,” Budak kecil itu masih terpinga-pinga. “Begitu jualah hati manusia. Walaupun kamu membaca al-Qur’an tetapi tidak memahaminya, ketahuilah bahawa ia sesungguhnya akan menyucikan hati kamu walaupun kamu tidak memahami pengajaran dalamnya.”

Oleh itu, banyakkanlah membaca al-Qur’an, terutamanya dalam bulan Ramadhan yang mulia ini. Walaupun kita tidak faham akan bahasa Arab, pembacaan al-Qur’an sebenarnya memberikan kesan kepada hati kita. Cuba fahami apa yang terkandung dalam Kitabullah, kerana itu adalah lebih baik daripada hanya membacanya.

Ps: Cerita di atas mungkin telah diubah sedikit daripada versi asalnya.

Wassalam WBT.

Tiada ulasan: