Selasa, April 15

Bahasa Arab Bahasa Kita

Oleh: Ahmad Ilman


Bahasa bererti simbol suara yang dipakai sebagai alat perhubungan dalam lingkungan satu kelompok manusia. Dalam konteks kita, bahasa merupakan salah satu alat yang paling penting dalam menyampaikan dakwah kepada umat manusia. Rasulullah SAW pernah bersabda yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari:


بلغوا عني ولو آية


Maksudnya: "Sampaikanlah daripadaku walaupun satu ayat."


Bagaimanakah kita hendak melaksanakan tuntutan di atas sedangkan kita sendiri tidak memahami dengan sepenuhnya kalam-kalam yang dituturkan Nabi kita SAW? Bagaimanakah kita mengatakan kita memahami al-Quran dan hadis dengan hanya membaca terjemahannya sahaja sedangkan kita tidak mampu memahami bahasa asal teks itu diperturunkan? Dengan ini, kita dapat membuat kesimpulan bahawa kita wajib mempelajari bahasa al-Quran dan as-Sunnah -- bahasa Arab.


Bahasa Arab ialah bahasa yang unik dan kompleks. Ia tidak dapat diterjemahkan dengan tepat ke dalam bahasa lain. Antara contohnya ialah perkataan "alaqah" yang mempunyai tiga maksud iaitu darah beku, benda yang tergantung, dan juga lintah. Al-Quran menggunakan istilah ini untuk mendefinisikan embrio (janin) yang terbentuk daripada darah beku, tergantung di dinding rahim dan berbetuk seperti lintah. Tidak ada bahasa lain dalam dunia yang mampu mendeskripsikan embrio sejitu al-Quran yang berbahasa Arab.


Apakah kepentingan kita berbahasa Arab? Selain membolehkan kita memahami al-Quran dan hadis, berbahasa Arab membantu membentuk peribadi kita. Ibn Taimiyah berkata, "Penggunaan bahasa memberikan kesan mendalam terhadap pemikiran, tindakan, juga kepada komitmen seseorang dalam beragama. Ia juga mempengaruhi persamaan kita dengan generasi awal Ummah ini, para sahabat dan tabi'in. Percubaan mengikuti mereka (dalam berbahasa) akan memeperbaik pemikiran dan tindakan seseorang serta komitmen bergamanya."


Di samping itu, pada zaman kegemilangan umat Islam dahulu, bahasa Arab merupakan lingua franca saintis-saintis Muslim. Hal ini memudahkan komunikasi ilmu dan maklumat dapat disampaikan dengan mudah tanpa bantuan penterjemah. Ini merupakan antara faktor kegemilangan tamadun Islam dari segi sains dan teknologi di samping para saintisnya yang bertaqwa kepada Allah.


Pelajarilah bahasa Inggeris supaya kita dapat maju dan moden di dunia ini. Dalamilah bahasa Arab supaya kita dapat maju dan moden di dunia ini dan negeri Akhirat, insya-Allah. Berbanggalah dengan bahasa Arab, bukan kerana atas dasar suka-suka atau burung kakak tua, atau seperti mana mereka yang berbangga dengan bahasa Melayu atas dasar nasionalisme, akan tetapi kerana bahasa Arab itu adalah bahasa Deen kita, bahasa syurga, bahasa al-Quran. Angkatlah kepala kita dan laungkan: "Deen saya ada bahasanya, dan bahasa itu ialah bahasa Arab!"

Tiada ulasan: