Sabtu, April 26

Ukhuwah Tunjang Kekuatan Ummah

Oleh: Ahmad Ilman


Mencintai sesama Mukmin dan mengikat ukhuwah (persaudaraan) merupakan satu tuntutan syarak yang sangat penting. Ukhuwah bererti keterikatan hati dan jiwa antara seorang Mukmin dengan yang lainnya dalam konteks akidah Islamiah. Allah SWT berfirman dalam surah al-Hujurat ayat 10 yang mafhumnya: "Sesungguhnya orang-orang Mukmin adalah bersaudara."


Seorang Mukmin yang mencintai Mukmin yang lain semata-mata kerana Allah dan rasul-Nya akan dapat mengecapi kemanisan iman (halawatul iman), insya-Allah. Ukhuwah sesama Mukmin itu merupakan satu nikmat agung yang dikurniakan Allah SWT sebagaimana yang dijelaskan oleh-Nya dalam surah al-Anfal ayat 63 yang bermaksud: "Dan Yang mempersatukan hati mereka (orang-orang beriman). Walaupun kamu membelanjakan semua (kekayaan) yang berada di bumi, nescaya kamu tidak dapat mempersatukan hati mereka, akan tetapi Allah telah mempersatukan hati mereka. Sesungguhnya Dia Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana."


Ukhuwah Islamiah berbeza dengan ukhuwah jahiliah. Ukhuwah Islamiah disandarkan atas dasar akidah Islam yang suci. Oleh sebab persaudaraan yang dibina adalah kerana keikhlasan diri Mukmin kepada Allah dan rasul-Nya, ikatan ini jauh lebih kuat daripada ukhuwah jahiliah yang lebih materialistik. Persaudaraan yang berasaskan harta, bangsa, parti politik, tanah air, dan sebagainya amat rapuh dan akan binasa kerana ia tidak mempunyai matlamat yang jelas. Matlamat ukhuwah Islamiah yang hakiki dapat dilihat daripada prinsipnya iaitu dua orang yang saling mencintai dan mereka tidak saling mencintai melainkan kerana Allah dan rasul-Nya - inilah ikatan yang erat.


Ukhuwah Islamiah merupakan bentuk perhubungan paling unggul yang boleh dicapai antara manusia. Perhubungan ini dari satu sudut jauh lebih erat daripada hubungan kekeluargaan kerana ikatan akidah itu lebih utuh daripada pertalian darah. Hal ini boleh dilihat daripada dialog Nabi Nuh:


"Wahai Tuhanku, sesungguhnya anakku termasuk dalam keluargaku, dan sesungguhnya janji Engkau itulah yang benar. Dan Engkau adalah Hakim Yang Seadil-adilnya." [Surah Hud: 45]


Lalu Allah SWT menjawab:


"Wahai Nuh, sesungguhnya dia bukanlah termasuk dalam keluargamu (yang dijanjikan akan diselamatkan). Sesungguhnya (perbuatannya) itu adalah perbuatan yang tidak baik. Oleh sebab itu, janganlah kamu memohon kepada-Ku sesuatu yang kamu tidak mengetahuinya. Sesungguhnya Aku memperingatkan kepadamu supaya kamu jangan termasuk orang-orang yang tidak berpengetahuan." [Surah Hud: 46]


Kedudukan mereka yang saling mencintai kerana Allah adalah amat tinggi di sisi-Nya. Mereka akan mendapat naungan Allah pada hari yang tidak ada naungan selain naungan-Nya. Allah berfirman dalam sebuah hadis Qudsi yang diriwayatkan oleh Imam Muslim:


"Di manakah orang-orang yang berkasih sayang kerana kemuliaan-Ku? Pada hari ini (hari akhirat) Aku perlindungi mereka di bawah naungan-Ku pada hari tiada lagi naungan kecuali naungan-Ku."


Firman Allah dalam sebuah lagi hadis Qudsi yang diriwayatkan oleh Imam At-Tirmizi:


"Orang-orang yang saling mencintai kerana keagungan-Ku akan diberikan padanya mimbar-mimbar dari cahaya yang dicemburui (ghibtah) oleh para nabi dan syuhada."


Salah satu contoh yang menunjukkan kepentingan ukhuwah ialah ketika peristiwa hijrah ke Madinah. Perkara pertama yang dilakukan Rasulullah SAW sesampainya baginda di Madinah ialah mendirikan masjid yang melambangkan ketaqwaan kepada Allah SWT. Seterusnya, baginda SAW mempersaudarakan antara Muhajirin dan Ansar. Hal ini merupakan bukti kukuh bahawa menjalinkan ukhuwah itu amat penting dalam Islam dan ia merupakan asas kepada kerja-kerja dakwah yang lain.


Contohilah ukhuwah yang ditunjukkan oleh golongan Ansar kepada Muhajirin - mereka sanggup berkorban makanan, pakaian, tempat tinggal, malah isteri mereka untuk saudara mereka orang-orang Muhajirin. Inilah yang dikatakan mencintai saudara kerana Allah dan rasul-Nya. Matlamat mereka tidak lain tidak bukan adalah untuk mendapat mardhatillah semata-mata.


Ukhuwah Islamiah dengan jelas, terang dan nyata menjadi asas kepada perpaduan umat Islam. Rasulullah SAW pernah bersabda yang diriwayatkan oleh Imam Muslim:


"Perumpamaan orang-orang Mukmin dalam kasih sayang mereka, dalam rahmat-merahmati mereka, dalam kemesraan sesama mereka, adalah seperti satu tubuh; apabila mengadu sakit salah satu anggota daripadanya, maka seluruh tubuh bersahut-sahutan baginya dengan jaga dan demam."


Hadis Rasulullah SAW ini juga diterangkan oleh misalan ranting kayu - satu ranting amatlah mudah dipatahkan, tetapi seberkas ranting yang diikat bukan sahaja payah untuk dipatahkan, malah sukar untuk dibengkokkan. Bidalan ini juga disebut oleh para cerdik pandai Melayu sebagai "bersatu teguh, bercerai roboh."


Dalam realiti kehidupan masa kini, jika perhubungan ukhuwah Islamiah itu masih dipelihara dengan sebenar-benarnya sebagaimana yang dikehendaki agama, maka semua negara Islam akan merasai keperitan yang dihadapi oleh negara Palestin. Ketua-ketua negara Islam akan membantu rakyat Palestin tanpa menghiraukan ancaman yang datang dari Amerika dan Yahudi. Hal ini disebabkan jika semua negara Islam bersatu, kuasa-kuasa Barat tidak dapat melakukan apa-apa.


Dalam skop yang lebih kecil, jika perhubungan Islamiah ini dijaga di sekolah, sama ada dengan rakan sekelas, para senior, adik-adik, guru-guru, serta warga sekolah lain, kita akan dapat menyaksikan suasana harmoni di sekolah. Segala yang diucapkan ialah perkataan yang baik maka pergaduhan tidak berlaku serta prasangka buruk boleh dielakkan.


Sebagai contoh, kita akan melihat suasana abang/kakak memberi tauladan yang baik kepada adik-adik, dan adik-adik pula akan memberi rasa hormat kepada yang lebih tua. Keadaan utopia ini boleh wujud jika Islam itu diamalkan dan pengaruh-pengaruh negatif dari luar akan menjadi susah untuk masuk disebabkan wujudnya rasa tanggungjawab dalam diri setiap individu untuk mencegah saudaranya daripada bermaksiat kepada Sang Pencipta. Oleh sebab itu, kita harus menjaga ukhuwah ini supaya kita dapat mewujudkan bi'ah solehah (suasana yang soleh) dalam sekolah kita.


Hayatilah sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim:


"Jagalah diri kamu dari berprasangka, kerana sesungguhnya prasangka itu adalah perkataan yang paling dusta dan janganlah kamu sengaja mencari-cari kesalahan. Janganlah kamu intip mengintip, janganlah kamu berlumba-lumba mengatasi saudaramu dan janganlah berdengki-dengkian, janganlah benci-membenci dan janganlah kamu pulau-memulaukan. Dan jadilah kamu hamba-hamba Allah yang bersaudara."


Jagalah diri kita daripada melakukan perbuatan-perbuatan yang boleh merosakkan ukhuwah sepertimana yang diterangkan dalam hadis di atas. Ukhuwah itu merupakan satu nilai yang amat penting yang harus dipelihara oleh setiap daripada kita kerana ukhuwah itu bukan boleh ditemukan di jalanan, ukhuwah itu bukan boleh dibeli dengan harta sebanyak mana pun, tetapi ukhuwah itu merupakan nikmat kurniaan Allah seperti yang diterangkan dalam firman-Nya surah al-Anfal ayat 63.


Kerajaan Islam zaman dahulu amat kuat dan digeruni oleh musuh-musuh Islam kerana wujudnya khalifah-khalifah yang berkaliber dan ukhuwah antara umat Islam yang amat kuat. Wujudnya perpaduan yang kukuh itu disebabkan umat Islam bernaung di bawah satu kerajaan sahaja, bukannya kerajaan yang berpecah-pecah. Demi mengalahkan Islam, Barat mengambil inisiatif memecahbelahkan negara umat Islam yang satu menjadi puluhan negara kecil yang lemah bak ranting seperti Arab Saudi, Jordan, Syria, dan sebagainya pada awal abad ke-20. Hal ini secara langsung membawa kepada kejatuhan kerajaan Islam Uthmaniah pada tanggal 3 Mac 1924.


Marilah kita renung-renungkan: kesatuan umat Islam itu amat ditakuti dan digeruni oleh musuh-musuh Allah. Mereka menyedari bahawa perhubungan ukhuwah Islamiah itu merupakan sesuatu yang luar biasa dan berkuasa. Mereka mewujudkan "ukhuwah" mereka sendiri yang mempunyai satu matlamat: menghancurkan Islam. Selagi Islam tidak pupus, selagi itu mereka akan bekerjasama. Islam akan terus wujud hingga ke akhir zaman, begitu jua pakatan mereka untuk melenyapkan deen ini. Oleh sebab itu, adalah tidak wajar sekiranya kita sebagai umat Islam berpecah belah dan saling memusuhi antara satu sama lain. Perpaduan dan ukhuwah kita adalah tunjang kekuatan Ummah ini.


Sebagai pengakhirnya, hayatilah hadis Qudsi berikut yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad:


"Cinta-Ku mesti bagi orang-orang yang saling mencintai kerana Aku; cinta-Ku mesti bagi orang-orang yang saling bersilaturahim kerana Aku; cinta-Ku mesti bagi orang-orang yang saling menasihati kerana Aku; cinta-Ku mesti bagi orang-orang yang saling mengunjungi kerana Aku; cinta-Ku mesti bagi orang-orang yang saling memberi kerana Aku."


Wallahua'lam.



Technorati : , , ,

Tiada ulasan: