Selasa, Disember 16

Memelihara Cuti

oleh: Ahmad Ilman


Assalamualaikum WBT.


Cuti merupakan satu peluang untuk kita mengurai kembali simpulan-simpulan minda dan jisim yang telah kusut dan berselirat sewaktu kita bersekolah, bekerja, dan sebagainya. Cuti merupakan masa lapang, dan masa lapang amat digalakkan untuk kita merebutnya seperti sabda Rasulullah SAW, "Dan (rebutlah) masa lapang sebelum tiba masa sempit."


Cuti datang bersama satu musuh yang berbahaya jika kita tidak berwaspada dengannya. Demi mengendurkan ketegangan yang dialami akibat tugasan atau persekolahan, ramai menyalahgunakan masa lapang yang diberi oleh Allah ini dengan mengisi waktu cuti dengan perkara-perkara yang melalaikan. Masalah ini timbul disebabkan oleh salah faham terhadap konsep melepaskan tekanan ataupun 'tension release.'


Melepaskan tekanan tidak bererti melepaskan tanggungjawab kita sebagai hamba yang sentiasa terikat kepada kehendak Allah. Hubungan dengan Allah tidak boleh kita abaikan atas nama melepaskan tekanan. Seperti para pelajar yang bertindak melepaskan tekanan dengan bermain permainan komputer sehingga waktu solat hampir tamat. Seperti mereka yang menonton bola sehingga larut malam lalu solat fajar di luar waktu akibat terlajak tidur. Seperti mereka yang lupa membaca al-Quran sebaliknya hanya membaca komik dan majalah hiburan.


Hati manusia akan menjadi gelap dan keras sekiranya hubungan dengan Allah tidak dijaga. Antara cara yang boleh kita amalkan untuk menjaga dan meningkatkan hubungan kita dengan Allah sewaktu cuti adalah dengan mendampingi al-Quran. Nabi Muhammad SAW bersabda, "Sesungguhnya hati dapat membeku seperti besi." Lalu ditanyakan, "Bagaimana cara melembutkannya?" Baginda menjawab, "Membaca al-Quran dan mengingati mati (zikrul maut)."


Membaca al-Quran dengan penuh penghayatan dapat meningkatkan iman dan membersihkan hati. Iman dapat mewujudkan ketenangan jiwa seperti yang termaktub dalam firman Allah SWT dalam Surah al-Fath, 48: 4:



Maksudnya: Dialah (Allah) Yang memberi ketenangan ke dalam hati orang-orang Mukmin supaya bertambah lagi iman mereka di samping iman mereka (yang sedia ada).


Ayat ini merupakan bukti yang menunjukkan cara seharusnya bagi orang-orang Mukmin untuk melepaskan tekanan adalah dengan meningkatkan keimanan kepada Allah. Jika kita hendak merehatkan minda dengan hiburan, berhiburlah dengan hiburan yang membawa kita kepada Allah. Jika kita hendak melepaskan tekanan dengan membaca, carilah bahan bacaan yang santai tetapi boleh mendekatkan kita dengan Allah SWT.


Tidak semestinya kita perlu membaca buku agama yang tebal-tebal untuk meningkatkan keimanan kita. Sekiranya kita membaca buku-buku ilmiah yang memberi fakta-fakta sains, geografi, sejarah dan lain-lain sudah cukup untuk kita berhenti sejenak memikirkan kebesaran Allah SWT. Akan tetapi, ini tidak bermakna buku-buku fikrah boleh kita abaikan. Poinnya di sini ialah, bukan kuantiti bacaan kita yang penting, tetapi kualiti bacaan, penghayatan serta amalan. Para sahabat Rasulullah SWT hanya menghafal lima ayat al-Quran pada satu-satu masa dan mereka tidak berpindah ke ayat lain sehingga lima ayat yang pertama tersebut betul-betul meresap dalam hati mereka dan terzahir sebagai amalan. Praktis para sahabat ini boleh kita amalkan untuk membentuk hati kita supaya sentiasa terikat dengan Allah SWT. Sekalipun kita khatam al-Quran seminggu sekali ataupun menghabiskan sepuluh buku fikrah sepanjang cuti ini, semuanya tidak bermakna sekiranya kita tidak mengamalkan apa yang kita baca, lebih-lebih lagi jika amalan kita bertentangan dengan fikrah Islamiah.


Akhir kalam, manfaatkanlah waktu lapang dan janganlah kita mengabaikan tanggungjawab. Cuti tidak bermakna perlepasan daripada tanggungjawab, cuti hanyalah merupakan waktu persediaan untuk menerima tanggungjawab seterusnya. Sebagai pelajar, tanggungjawab kita ialah belajar untuk mendapatkan keredhaan Allah. Cuti persekolahan merupakan masa untuk mengulangkaji pelajaran yang lepas dan bersedia untuk menerima ilmu baharu pada semester seterusnya. Janganlah kita hampakan harapan yang mengharap kepada kita dan membakar hangus wang ringgit yang dilaburkan oleh ibu bapa kita.


Wallahua'lam.

Tiada ulasan: