Sabtu, Disember 15

Amalan Dan Penjaganya

oleh: BroMuhsin


Assalamualaikum WBT. Tahiyyatun Tayyibatun Wa Ba'd.

Alhamdulillah, bersyukur kita kepada Allah, kerana dengan kurniaan dari-Nya, roh dan jasad kita masih lagi melekat dan berhubung supaya dengan ini kita masih lagi boleh meneruskan dan menegakkan Syi'ar Islam di bumi yanf Fana ini. Tanpa membuang masa lagi, Fikruttaqwa memulakan dengan Bismillahi Ar-Rahman Ar-Rahim.

Sebuah kisah...
Ibnu Mubarak menceritakan bahawa Khalid bin Ma'dan berkata kepada Muaz:
"Aku bermohon agar engkau dapat membacakan hadis Rasulullah yang telah engkau hafal dan yang engkau anggap paling berkesan. Hadis manakah menurut tuan?"
Jawab Muaz: "Baiklah. Aku akan baca dan ceritakan kepadamu."

Seterusnya, sebelum bercerita, beliau menangis. Kemudian beliau mengatakan:
"Rindu sekali aku pada Rasulullah saw. Terasa ingin sangat untuk bertemu dengan baginda." Seterusnya beliau berkata lagi: "Tatkala aku menghadap Rasulullah, baginda menunggang unta. Baginda menyuruh aku naik di belakangnya. Kemudian, berangkatlah kami menaiki unta."

Seterusnya, baginda mendongak ke langit dan bersabda:
"Puji dan syukur ke hadrat Allah Yang Berkehendak atas makhluk-Nya, ya Muaz!"
Jawabku: "Ya, Saidina Mursalin."

Seterusnya baginda bersabda lagi: "Sekarang aku akan menceritakan kepada kamu sebuah kisah. Apabila engkau menghafalnya, ia akan memberi faedah yang amat berguna kepadamu. Tetapi jika engkau menganggap remeh sahaja, maka kelak di hadapan Allah, engkau tidak mempunyai hujah."

"Hai Muaz, sebelum Allah menciptakan langit dan bumi ini, Allah telah mencipta 7 malaikat. Pada setiap langit terdapat satu malaikat penjaga pintu, jadi setiap langit mempunyai penjaga pintu, mengikut darjat pintu keagungannya."

"Dengan demikian, malaikatlah yang menjaga amalan bagi seseorang hamba. Kemudian, pencatat ini membawa amalan si hamba ke langit dengan kemilau cahaya bak matahari. Setibanya di langit tingkat pertama, malaikat Hafazah memuji -amalan itu. Tetapi sebaliknya di pintu langit pertama, malaikat penjaga pintu berkata kepada malaikat Hafazah:"

""Lemparkanlah amalan ini ke muka pemiliknya. Aku adalah penjaga orang-orang yang suka mengumpat. Aku diperintahkan agar menolak amalan orang yang suka mengumpat. Aku tidak mengizinkan untuk sampai ke langit seterusnya.""

"Keesokan harinya, malaikat Hafazah kembali naik ke langit membawa amal soleh yang berkilau yang menurut pandangannya sangat banyak dan terpuji. Setibanya di langit kedua, (dia lulus langit pertama kerana pemiliknya tidak mengumpat), penjaga langit kedua berkata:"

""Berhenti! Lemparkan sahaja amalan ini kepada pemiliknya kerana dia beramal dengan mengharapkan kebaikan dunia. Allah memerintahkan aku agar amalan ini tidak sampai ke langit berikutnya." Maka para malaikat melaknat orang itu."

"Hari berikutnya, malaikat Hafazah kembali naik ke langit membawa amalan seorang hamba yang amat memuaskan, penuh sedekah, puasa dan pelbagai kebaikan yang menurut malaikat Hafazah sangat mulai dan terpuji. Setibanya di langit ketiga, malaikat penjaga berkata:"

""Berhenti! Lemparkan sahaja amal itu ke wajah pemiliknya. Aku malaikat penjaga kibr (sombong). Allah memerintahkan aku agar amalan seperti ini tidak boleh melepasi pintuku dan tidak sampai ke langit berikutnya. Ini adalah kesalahan dirinya sendiri, dia takabbur di dalam majlis.""

"Ringkasnya, malaikat Hafazah naik ke langit lagi membawa amalan hamba yang lain pula. Amalan itu bak bintang kejora, mengeluarkan suara gemuruh, penuh dengan tasbih, puasa, sembahyang, ibadat haji dan umrah. Setibanya pada langit keempat, malaikat penjaga langit berkata:"

""Berhenti! Lemparkan sahaja amalan ini ke wajah pemiliknya. Aku adalah malaikat penjaga ujub. Allah memerintahkan kepada aku agar amalan ini tidak mendapat kelulusan aku. Ini kerana amalannya selalu disertai ujub.""

"Malaikat Hafazah naik ke langit lagi membawa amalan hamba yang lain pula. Amalan itu sangat baik dan mulia. Dia berjihad, melakukan ibadat haji dan umrah sehingga berkilau bak matahari. Setibanya di langit ke lima, malaikat penjaga mengatakan:"

""Aku malaikat penjaga hasad. Meskipun amalannya bagus, tetapi dia suka hasad terhadap orang lain yang mendapat nikmat Allah swt. Ini bererti dia membenci Yang meredhai yakni Allah. Aku diperintahkan agar amalan seperti ini tidak melepasi pintuku.""

"Malaikat Hafazah naik ke langit lagi dengan membawa amal seorang hamba. Dia membawa amalan berupa wuduk yang sempurna, sembahyang yang banyak, puasa, haji dan umrah. Setibanya di langit yang keenam, malaikat penjaga berkata:"

""Aku malaikat penjaga rahmat. Lemparkan sahaja amalan yang kelihatan bagus ini ke mukanya. Selama hidup dia tidak pernah mengasihi orang lain, bahkan apabila ada orang ditimpa musibah, dia merasa senang. Aku diperintahkan Allah agar amalan ini tidak melepasiku dan agar tidak sampai ke langit berikutnya.""

"Kemudian, malaikat Hafazah kembali naik ke langit dan kali ini adalah langit ketujuh. Dia membawa amalan yang tidak kurang baiknya dari yang lalu seperti sedekah, puasa, sembahyang, jihad dan warak. Suaranya bagaikan petir yang menyambar-nyambar dan cahayanya bak kilat. Tetapi, setibanya dia pada langit ketujuh, malaikat penjaga berkata:"

""Aku malaikat penjaga sum'ah (sifat ingin kenal). Sesungguhnya pemilik amal ini menginginkan darjat yang tinggi di kala berkumpul dengan kawan sebaya, ingin mendapat pengaruh dari para pemimpin. Aku diperintahkan agar amal ini tidak melepasiku dan sampai sampai kepada yang lain kerana ibadat yang dilakukan bukan kerana Allah adalah riak. Allah tidak menerima ibadat orang-orang yang riak.""

"Kemudian, malaikat Hafazah naik lagi ke langit membawa amal dan ibadat seorang hamba berupa sembahyang, puasa, haji, umrah, akhlak mulia, pendiam dan suka berzikir kepada Allah swt. Dengan diiringi para malaikat, malaikat Hafazah sampai di langit ketujuh hingga menembusi hijab-hijab dan akhirnya sampailah di hadapan Allah. Para malaikat itu berdiri di hadapan Allah dan menyaksikan bahawa amalan itu sahih dan ikhlas kerana Allah SWT."

"Kemudian Allah berfirman: "Hai Hafazah, malaikat pencatat amal hamba-Ku, Akulah yang mengetahui isi hatinya. Dia beramal bukan untuk-Ku, tetapi diperuntukkan bagi selain Aku. Dia tidak berniat ikhlas untuk-Ku. Aku lebih mengetahui daripada kalian. Aku melaknat mereka yang menipu orang lain dan juga menipu kalian (para malaikat Hafazah). Tetapi aku tidak tertipu olehnya. Akulah yang Maha Mengetahui perkara-perkara ghaib. Aku mengetahui segala isi hatinya. Segala yang samar, tidak samar bagi-Ku. Setiap yang tersembunyi, tidak tersembunyi bagi-Ku. Pengetahuan Aku atas segala yang terjadi sama dengan pengetahuan-Ku atas segala yang belum terjadi. Pengetahuan-Ku atas segala yang lepas atau berlalu sama dengan pengetahuan-Ku atas segala yang akan datang. Pengetahuan-Ku atas orang2-orang yang terdahulu sama dengan pengetahuan-Ku atas orang-orang kemudian."

"Aku lebih mengetahui atas segala sesuatu yang samar dan rahsia. Bagaimana hamba-Ku boleh menipu dengan amalnya. Mereka boleh menipu sesama makhluk tetapi Aku mengetahui segala perkara yang ghaib. Aku tetap melaknatnya!""

Tujuh malaikat di antara 3,000 malaikat berkata:
"Ya Tuhan, dengan demikian tetaplah laknat-Mu dan laknat kami atas mereka."

Kemudian, semua yang berada di langit mengucapkan:
"Tetaplah laknat Allah ke atasnya, dan laknat orang-orang yang melaknat.""

Sayidina Muaz (yang meriwayatkan hadis ini) kemudian menangis tersedu-sedu, lalu berkata:
"Ya Rasulullah, bagaimana aku mampu selamat dari segala yang engkau ceritakan tadi?"

Jawab Rasulullah: "Hai Muaz, ikutilah Nabimu dalam masalah keyakinan."

Aku (Muaz) bertanya: Engkau adalah seorang Rasul, sedangkan aku hanya Muaz bin Jabal. Bagaimana aku mampu selamat dan berjaya untuk melepasi segala bahaya itu?"

Berkata Rasulullah saw: "Memang begitulah, bila ada kelalaian dalam amal ibadatmu, maka jagalah mulutmu, jangan sampai mengejek orang lain, terutama sekali kepada sesama ulama'. Ingat diri sendiri apabila hendak mengejek orang lain, sehingga sedar bahawa diri kamu sendiri mempunyai banyak aib. Jangan menutup kekuranganmu dengan mengejek orang lain. Jangan mengangkat diri dengan menjatuhkan orang lain. Jangan riak dalam beramal dan jangan mementingkan dunia sehingga mengabaikan akhirat. Jangan bersikap kasar dalam majlis. Jangan suka mengungkit-ungkit kebaikan dan jangan menghancurkan peribadi orang lain, kelak engkau akan dihancurkan oleh anjing Jahannam."

Seterusnya aku bertanya lagi: "Ya Rasulullah, siapa yang bakal kuat menanggung penderitaan berat itu?"

Jawab Rasulullah saw: "Muaz yang aku ceritakan tadi. Akan mudah bagi mereka yang dimudahkan oleh Allah. Engkau harus mencintai orang lain sebagaimana engkau menyayangi dirimu. Bencilah terhadap apa yang kau benci. Jika demikian, engkau akan selamat."

Khalid bin Ma'dan pula meriwayatkan : "Saidina Muaz sering membaca hadis ini seperti seringnya dia membaca al-Quran. Dia juga mempelajari hadis ini sebagaimana dia mempelajari al-Quran di dalam majlis.

*Masih hendak lagikah, masih mahu lagikah kita ini membuat dosa, sedangkan pahala itu pun perlu pelbagai ciri barulah diterima. Walaupun begitu susah, tetapi Rasulullah tetap menyayangi kita iaitu seperti kisah di atas, baginda menyatakan: "Ikutilah Nabimu." Dan Rasulullah SAW juga pernah berkata: "Aku tinggalkan kamu dua perkara, yang mana jika kamu mengikutinya kamu tidak akan sesat, iaitu Kitab Allah (Al-Quran) dan nabi-Nya." Oleh itu, marilah kita mengikuti segala yang ada pada Nabi Muhammad dan melaksanakan perintah Allah dengan Gemilang dan Sempurna.*

Wassalam WBT.

Tiada ulasan: