Rabu, Disember 12

Kita dan Rabb

Assalamualaikum WBT. Tahiyyatun Tayyibatun Wa Ba'd.

Kita sebagai orang yang beriman haruslah sentiasa peka akan hubungan kita dengan Allah SWT (HDA). Kita harus menjadi seorang hamba Allah yang ikhlas dan meyakini bahawa apa yang kita lakukan ada ganjaran atau balasannya di sisi Allah SWT. Kita juga perlu mengingati Allah SWT di mana sahaja kita berada dan meyakini bahawa Allah SWT memerhatikan setiap gerak-geri kita. Dengan ini, kita akan berusaha untuk menambahkan amalan kita dan menjauhi maksiat, lalu merapatkan hubungan kita dengan Allah SWT.

Dalam beriman kepada Allah, kita perlu merasakan bahawa kita hanyalah makhluk dan hamba-Nya yang sentiasa memerlukan pertolongan daripada Allah dalam apa jua perkara, walaupun kita merasakan bahawa kita boleh melakukannya dengan sendiri. Kita perlu yakin bahawa setiap sendi kita tak akan bergerak melainkan dengan inayah Allah. Akan tetapi, ini tidak menjadi alasan untuk kita duduk mengharapkan pertolongan tanpa berusaha, malah ini seharusnya menjadi sebab untuk kita berusaha sebagai tanda kesyukuran kepada Allah SWT.

Dalam pada itu, kita harus menjadi hamba yang peka yang sentiasa berfikiran terbuka terhadap kekuasaan Allah. Tak kira sama ada kita ini seorang rakyat biasa, pelajar, mahupun perdana menteri, kita harus mengiktiraf dan mengakui bahawa Allah SWT berkuasa ke atas kita. Tidaklah kita mempunyai kuasa melainkan hanya pinjaman daripada Allah SWT. Dengan mengakui kuasa mutlak Allah ini, kita menambah keimanan dan meletakkan kepercayaan sepenuhnya kepada Pencipta kita Yang Maha Esa.

Tidak cukup sekadar mengakui bahawa Allah berkuasa ke atas kita, kita harus mematuhi segala apa yang telah ditetapkan Allah ke atas kita semua. Kita harus mengikuti segala perintah-Nya walaupun kadangkala ia bertentangan dengan kehendak nafsu kita sendiri. Di samping itu, kita tidak melampaui batas-batas syarak yang telah digariskan Allah SWT. Segala arahan ataupun larangan kita patuhi tanpa penangguhan dan tanpa teragak-agak. Ia bertepatan dengan maksud Islam itu sendiri—penyerahan total kepada Allah SWT, dan mematuhi sepenuhnya suruhan Allah dan Rasul-Nya.

Kita bukan sahaja perlu menjaga hubungan kita dengan Allah, ini termasuk sesiapa sahaja yang dibawah tanggungan kita. Jika mereka yang berada di bawah tanggungjawab kita lupa akan hubungan mereka dengan Allah SWT, maka kitalah yang akan bertanggungjawab. Sabda Rasulullah SAW:
“Setiap daripada kamu ialah ketua, dan setiap daripada kamu bertanggungjawab ke atas pimpinannya.”

Sehubungan dengan itu, kita yang memegang tanggungjawab, tak kira kita ini abang, kakak, ketua kelas, imam, ustaz, guru, suami, ayah, hatta khalifah sekalipun, kita bertanggungjawab terhadap mereka yang kita pimpin. Mereka yang tak mengendahkan pimpinannya melakukan maksiat, mereka itu tak sempurna imannya dan dayus.

Wallahu a’lam.

Tiada ulasan: