Selasa, Disember 18

Solat Subuh Tanda Kita Cinta Allah

oleh: Ahmad Ilman


Assalamualaikum WBT.


Alhamdulillah, bersyukur lagi kita ke hadrat Allah SWT kerana diberi peluang untuk terus menegakkan dan menyebarkan kalimah La Ilaha Illa Allah di atas muka bumi-Nya ini. Selawat dan salam ke atas Rasulullah SAW yang mana dakwah baginda telah menjadikan kita sebagai insan bergelar Muslim lebih 1400 tahun kemudian, masya-Allah.


Sebagai permulaan bicara, cuba kita bayangkan satu senario:

Seorang lelaki berasa amat gembira kerana dia diterima bekerja dalam sebuah syarikat terkenal yang menjanjikan pendapatan yang sungguh lumayan. Lelaki tadi berasa amat bertuah kerana dia merupakan satu-satunya calon yang diterima bekerja dalam syarikat itu dalam satu sesi interviu.


Pada keesokan harinya, lelaki itu pun pergi berjumpa dengan pengurus syarikat tersebut untuk menandatangani kontrak pekerjaan. Kontrak tersebut menyatakan bahawa si lelaki tadi perlu menghormati waktu bekerja dan menghantar laporan setiap minggu pada waktu yang ditetapkan. Sekiranya dia tak dapat melaksanakan apa yang tertulis, dia berhak menerima hukuman ataupun dipecat dari syarikat itu.


Tak lama kemudian, lelaki tadi berjumpa dengan pengurus syarikat tersebut lalu berkata, "Mulai hari ni, saya akan datang bekerja pada waktu yang saya suka, saya akan menghantar laporan mingguan lebih lewat dari waktu yang ditetapkan, dan tuan tak boleh menghukum saya atau memecat saya dari syarikat ni."

Senario ni agak kelakar, kan? Kalaulah kita pengurus tu, dah lama agaknya kita halau lelaki tu. Ada ke, sudahlah buat kerja tak betul, lepas tu melarang bos dia daripada menghukum dia pula. Gila agaknya lelaki tu.


Kalau kita fikir macam tu, kenapa kebanyakan daripada kita (termasuk diri penulis) melakukan perbuatan yang hampir sama dengan si lelaki tadi - bahkan lebih teruk lagi? Yalah, kadang-kadang kita miss solat Subuh atau Isyak sebab kepenatan. Lepas tu, kita dengan selambanya menikmati kurniaan-kurniaan Allah yang diberikan-Nya kepada kita, padahal kita tak melakukan rukun Islam yang asas, iaitu solat. Bukan ke itu lagi teruk daripada lelaki tadi? Okey, mungkin tak ramai daripada kita yang tertinggal solat. Tapi memang ramai daripada kita yang solat macam cacing


Solat ni bukan masalah fiqah yang masih didebatkan oleh para ulama' tentang kewajibannya. Ia juga bukan amalan sunat yang diberi pilihan sama ada nak buat ke tak. Solat ni merupakan asas dan rukun Islam. Kiranya, tanpa solat, kita tak bolehlah digelar orang Islam. Ibadah solat ni, walau apa jua keadaannya, kita kena buat juga. Zakat dikecualikan ke atas lapan asnaf yang disebutkan oleh Allah, solat tak. Haji dikecualikan ke atas mereka yang tak mampu, solat masih wajib dilakukan ke atas semua insan yang mengucap dua kalimah syahadah di mana sahaja mereka berada.

Allah SWT berfirman dalam Surah Al-Maa'uun ayat 4-5 yang bermaksud:

"Wail (celakalah) bagi mereka yang solat - yakni mereka yang lalai akan solat mereka."

Para pentafsir Al-Qur'an berkata bahawa ayat ini merujuk kepada perbuatan orang munafik yang solat di luar waktu. Para mufassirin juga berkata bahawa "wail" ialah satu jurang yang dalam lagi gelap di dalam neraka. Tidakkah kita mempercayai kata-kata Allah SWT? Tidakkah kita meyakini bahawa janji Allah itu benar - yakni neraka Wail bagi mereka yang lalai akan solat?

Banyak orang Islam sekarang ni mengabaikan solat Subuh. Malah, bagi yang terlepas pun, ada yang malas mengerjakan qadaknya (gantinya). Kenapa malas sangat ni? Bukan ke kita mengaku yang Allah SWT Rabb kita? Bukan ke kita mengaku bahawa cinta kita yang utama ialah Allah? Bahawa kita mencintai Allah melebihi segala sesuatu? Sejauh manakah kebenaran pengakuan kita tu? Adakah sekadar bicara membazir liur atau kalam yang dibenarkan oleh hati kita? Manusia ni, kalau dah tersangat cinta pada sesuatu, dah tak nampak benda lain, melainkan apa yang dicintainya. Kalau orang yang dicintainya suruh buat sesuatu, dia buat. Kalau dia melarang sesuatu, dia tak buat. Jadi adakah mereka yang mengabaikan solat Subuh ni benar-benar cintakan Allah?

OK, cuba bayangkan situasi ni pula:

Seorang majikan yang jutawan menawarkan seorang pekerjanya untuk melakukan sesuatu tugas. Kalau dia melakukan tugas tu dengan jayanya, dia akan mendapat ganjaran RM1000 setiap hari. Tugasnya ialah mengejutkan majikannya setiap pagi pada waktu yang ditetapkan, kemudian dia boleh beredar. Alahai, tugas ni tak makan masa lebih 10 minit pun! Dia akan dapat RM1000 sehari selagi mana dia melakukan tugas ni dengan sempurna. Tapi, sekiranya walau sekali saja dia tak kejut majikannya tanpa sebarang alasan kukuh, semua duit yang diberi akan diambil semula dan dia tak akan lagi dapat tawaran sedemikian.

Kalau kita lah yang diberi tawaran tu, apa kata kita? Mesti ramai yang sanggup terima tawaran ni. RM1000 sehari, hanya untuk mengejutkan majikan kita, bukan sikit! Kita akan berusaha sedaya upaya menjalankan tugas ni. Kalau kita ter-miss sehari, kita akan memohon ampun dengan bersungguh-sungguh, dan meyakinkan majikan kita bahawa kita betul-betul tak boleh bangun, dengan harapan majikan akan maafkan kita.

Allah minta kita solat. Allah memerintahkankita solat. Ganjarannya ialah pahala dan redha Allah, yang lebih mahal daripada jutaan ringgit sehari, yang tidak ternilai di dunia ni. Tambahan pula, Allah dah menyediakan semua nikmat yang diperlukan manusia. Bahkan, Allah-lah yang memberi NYAWA kepada manusia. Kenapalah manusia ni malas sangat nak solat?

Dengan semua yang dikurniakan, patutkah kita berasa malas nak bangun pukul 6 pagi melakukan solat yang tak ambil masa lebih dari 10 minit? Tak patutkah kita bersyukur kepada Allah SWT yang masih memberi kita nikmat walaupun kita banyak berdosa kepada-Nya?

Rasulullah SAW ada bersabda:

"Tiada solat yang lebih sukar untuk dilakukan oleh orang-orang munafik melainkan solat Subuh dan solat Isyak. Jikalau mereka tahu apa yang terkandung dalam solat-solat tersebut (pahala dan keberkatan), nescaya mereka akan melakukannya, walaupun terpaksa datang dalam keadaan merangkak."

(HR Bukhari)


Baginda juga ada bersabda:

"Janganlah sekali-kali kamu tinggalkan solat dengan sengaja, kerana sesiapa yang melakukannya akan dilaknat oleh Allah dan Rasul-Nya."

(HR Ahmad)


Nak ke kita dilaknat dan dibenci oleh mereka yang paling kita cintai? Apa yang kita perlu buat untuk mengelak perkara tu?



  • Sedar akan hubungan kita dengan Allah SWT - bahawa Allah SWT yang menghidupkan kita, memberi nikmat kepada kita, dan Dia layak disembah dan kita wajib bersyukur kepada-Nya.

  • Set alarm clock untuk bangun Subuh - perkara asas.

  • Jadikan solat sebagai prioriti dalam hidup seharian - susun kerja seharian berdasarkan waktu solat, bukan susun waktu solat berdasarkan kerja seharian.

  • Tidur awal dan bangun untuk Subuh - tak perlu tidur selepas Subuh kerana Allah mengagihkan rezeki kepada hamba-Nya selepas fajar.

  • Rasa bersalah sekiranya tertinggal solat dan bertaubat.

  • Berdoa kepada Allah SWT supaya dipermudahkan dalam mengerjakan solat.


Apa yang tertulis bukanlah khusus untuk solat Subuh sahaja, malah untuk semua ibadah. Semoga Allah menjadikan kita hambanya yang benar-benar mencintai-Nya dan Rasul-Nya. Insya-Allah.

Bacaan tambahan:
- As-Solah oleh Akhi BROTHERHOOD_SBR.
- Praying Fajr reflects how much you love Allah the Almighty (versi asal artikel ini).

*Wassalam WBT*

Tiada ulasan: