Sabtu, Mei 10

Hikmah Menundukkan Pandangan (1)

Diterjemah daripada karya Ibn al-Qayyim al-Jauziyyah


Allah SWT telah berfirman:


Katakanlah kepada orang laki-laki yang beriman: "Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan memelihara kehormatannya; yang demikian itu adalah lebih suci bagi mereka, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka perbuat."



Surah an-Nur (24:30)


Allah SWT telah menjadikan penyucian serta perkembangan rohani itu satu natijah daripada menundukkan pandangan dan memelihara kehormatan. Oleh sebab inilah, menundukkan pandangan daripada melihat sesuatu yang dilarang itu membawa kepada tiga kebaikan yang mendukung nilai yang amat besar:


1. Merasai keseronokan dan kemanisan iman


Keseronokan dan kemanisan iman adalah lebih sedap dan nikmat daripada keseronokan yang mungkin diperoleh daripada objek yang seorang Mukmin menundukkan pandangan daripadanya kerana Allah SWT. Benarlah sesungguhnya "barangsiapa yang meninggalkan sesuatu kerana Allah, nescaya Allah Yang Maha Perkasa lagi Maha Agung akan menggantikannya dengan sesuatu yang lebih baik daripada itu." (HR Ahmad)


Hawa nafsu manusia itu sentiasa cinta untuk melihat perkara-perkara yang cantik. Mata itu merupakan pemandu jalan bagi hawa nafsu. Hawa nafsu akan meminta panduan daripada mata untuk melihat apa yang ada, dan apabila mata itu melihat sesuatu yang cantik, timbullah perasaan suka dan keinginan terhadap sesuatu yang dilihat oleh mata itu. Biasanya, hubungan antara mata dan hati ini akan memenatkan kedua-duanya seperti dikatakan:


Apabila pada suatu hari kamu menjadikan mata kamu sebagai pemandu jalan bagi hati, apa yang dilihat oleh mata kamu akan memenatkan kamu kerana kamu melihat sesuatu yang kamu tiada kuasa ke atasnya walau sebahagian pun, maka kamu perlu memaksa hati untuk bersabar.


Maka apabila pandangan mata itu dicegah daripada melihat perkara-perkara yang dilarang, hati akan berasa lega dan tenang kerana ia tidak perlu mengalami kepayahan dalam menginginkan sesuatu.


Barangsiapa yang membiarkan pandangannya bebas melihat ke mana sahaja, dia akan mendapati dirinya berada dalam keadaan kehilangan dan kesengsaraan yang tiada berkesudahan. Hal ini demikian kerana pandangan itu melahirkan rasa suka (mahabbah) yang merupakan titik tolak ketertautan hati dengan apa yang dilihat oleh matanya. Perasaan mahabbah ini kemudiannya bertambah kuat lalu menjadi keinginan yang meluap-luap (sababah) di mana hati tersebut menjadi tertaut dan bergantung sepenuhnya kepada objek yang dilihatnya. Perasaan sababah ini pula akan bertambah kuat lagi langsung menjadikannya tergila-gila (gharamah) yang mengikat hati seperti mana penghutang mengekori pemiutang yang belum membayar hutangnya. Ini akan bertambah kuat lagi dan menjadi cinta ghairah (ishk) yang merupakan cinta yang mengatasi segala had. Ishk akan bertambah kuat lalu menyebabkan dia mabuk cinta (shaghafa) sejenis cinta yang menyelaputi setiap ceruk dalam hati. Kemuncaknya ialah tatayyum, apabila cintanya menjadi cinta yang berupa pujaan/sembahan.


Maka hati tersebut mula memuja sesuatu yang tidak patut dipujanya - dan sebabnya tidak lain tidak bukan adalah kerana satu pandangan yang tidak dibenarkan. Hati tersebut kini terikat dek rantai-rantai walhal sebelum ini hatilah yang 'merantai' atau menguasai anggota tubuh yang lain. Hati tersebut telah dikongkong oleh matanya dan apabila hati mengutarakan hal ini pada mata, mata pun menjawab, "Saya ialah pemandu jalan juga utusan kamu. Kamulah yang menghantar saya masa mula-mula dahulu!"


Perkara di atas berlaku pada hati yang di dalamnya tiada lagi cinta serta keikhlasan pada Allah. Hal ini demikian kerana hati manusia itu memerlukan objek cinta yang membolehkannya mencurahkan ketaatan dan kesetiaan. Oleh sebab itu, apabila sebuah hati itu tidak mencintai Allah semata-mata serta tidak menjadikannya sebagai Ilah, maka hati tersebut perlu mencintai dan menyembah objek lain. Nauzubillah min zalik.

Tiada ulasan: