Jumaat, Mei 30

Sukan Tahunan 2008

Peluang Kuat Jasmani, Erat Ukhuwah


Oleh: Muhammad Thaqif


SMIK-Sukan Tahunan merupakan salah satu aktiviti mesti dalam sesebuah sekolah. Sekolah Menengah Ibn Khaldun telah memilih tarikh bermula 11 Februari hingga 6 Mac sebagaimana yang tercatat dalam takwimnya sebagai tempoh bagi sekolah ini beriadhah.


Seperti tahun-tahun yang lepas, acara sukan yang dipertandingkan adalah tiga acara khusus dan satu acara umum sahaja, samada putera mahupun puteri. Bagi pelajar putera mereka akan beradu tenaga bagi acara bola tampar, sepak takraw dan futsal. Manakala pelajar puteri pula akan bertanding bagi permainan 'rounders', badminton dan bola jaring. Acara umum yang dianjurkan pula adalah merentas desa mengikut kategori.


Pelajar tahap pertama putera akan berlumba sejauh 2 kilometer sahaja dan pelajar tahap kedua putera akan berlumba untuk jarak sejauh 4 kilometer. Manakala pelajar puteri kedua-dua tahap berlumba untuk jarak yang sama iaitu 2 kilometer.


Perjalanan Sukan Tahunan kali ini agak berlainan kerana tempoh bermain antara dua tahap dipecahkan di mana tahap pertama akan bermain dahulu pada minggu pertama dan diikuti tahap kedua untuk minggu berikutnya.


Seperti biasa rumah sukan untuk putera terdiri daripada kumpulan Abdul Rahman al-Fateh, Muhallab Abi Safrah dan Tariq Ziad. Rumah sukan bagi puteri pula ialah Ummu Salamah, Khansa' dan Nusaibah.


Majlis Penutup Sukan Tahunan 2008 ini telah diadakan secara gilang-gemilang pada 6 Mac 2008 bersamaan hari Khamis yang lalu dengan usaha gigih beberapa pelajar dan guru bertugas.


Keputusan akhir telah diumumkan pada majlis tersebut dengan mencatatkan kumpulan Muhallab Abi Safrah yang pertama, Tariq Ziad di tempat kedua dan diikuti Abdul Rahman ditempat ketiga bagi rumah sukan putera manakala Khansa' ditempat pertama, Nusaibah menggondol tempat kedua dan Ummu Salamah ditempat ketiga bagi rumah sukan puteri.

Tiada ulasan: