Khamis, Mac 6

Berdakwah Melalui Pena

oleh: Ahmad Ilman


Dakwah merupakan satu kewajipan bagi setiap Muslim yang amat dituntut syarak. Melaksanakan dakwah bererti menyambung tugas mulia para rasul yang tersandang di bahu kita semua. Tugas dakwah kini - tidak boleh tidak - harus dilaksanakan oleh kita semua, lebih-lebih lagi remaja Islam.


Dakwah bererti seruan ke jalan Allah - jalan Islam. Kita wajib menjadi da'ie yang menyeru manusia ke jalan yang diredhai Allah; mengajak mereka melakukan kebaikan dan mencegah mereka daripada kemungkaran. Dakwah boleh dilaksanakan melalui pelbagai cara dan wasilah (medium). Antaranya yang utama ialah penulisan.


Penulisan telah lama berperanan penting dalam menegakkan kalimah tauhid di muka bumi Allah. Wahyu pertama yang diturunkan kepada Rasulullah SAW menyuruh umat Islam membaca. Oleh sebab penulisan merupakan intisari kepada bahan bacaan, maka penulisan adalah amat penting, malah merupakan permulaan kepada pembacaan itu sendiri. Di samping itu, dalam surah al-Qalam Allah telah bersumpah dengan pena untuk menerangkan betapa besarnya peranan penulisan (Syed Qutb, Fi Zilalil Quran). Sumpah Allah ini merupakan kesinambungan daripada surah al-Alaq ayat 1-5 di mana Allah menekankan kepentingan membaca dan mengajar melalui pena. Kedua-dua surah tersebut merupakan antara wahyu terawal yang disampaikan kepada Rasulullah SAW maka di situ tersirat pengertian bahawa pembacaan dan penulisan merupakan asas kepada dakwah Islamiah.


Melalui penulisan, dakwah dapat disampaikan dengan gaya bahasa yang berbeza-beza sesuai dengan sasaran dakwah di mana pemahaman setiap individu adalah berbeza. Dakwah boleh disampaikan dalam bentuk sastera, sirah, teguran, dan sebagainya mengikut kreativiti da'ie. Selain itu, penulisan merupakan satu wasilah untuk menyebarkan Islam kepada ramai manusia, apatah lagi dengan kemunculan Internet, penulisan menjadi satu wadah penting dalam menyampaikan dakwah kepada masyarakat global.


Media cetak dan elektronik yang kian masyhur di kala ini tidak harus disia-siakan oleh insan yang ingin menyeru ke jalan Allah. Media penulisan kini sudah tidak terhitung lagi - buku, majalah, buletin, akhbar, laman Web, blog, forum, malah laman media sosial juga boleh digunakan secara optimum dan maksimum untuk membebaskan minda masyarakat daripada cengkaman jahiliah yang kian menular. Dengan proses penerbitan yang kian enteng, peluang terbuka luas bagi kita untuk berdakwah melalui pena.


Oleh itu, kami berharap agar para pelajar Sekolah Menengah Ibn Khaldun dapat bergiat dalam bidang penulisan dengan menghasilkan karya-karya yang mengajak manusia kembali ke jalan yang diredhai Allah. Kami juga mengharapkan Fikruttaqwa mampu terus menjadi medan dakwah dan tarbiyah, selaras dengan slogan Kelab Penerbitan "Berdakwah Melalui Pena" demi melahirkan para pemimpin alim bertaqwa yang bakal mewarisi bumi Allah SWT, insya-Allah.

Tiada ulasan: