Khamis, Mac 13

Ringkasan Khilafah

oleh: Ahmad Hashimi

Assalamualaikum WBT.

Okey, artikel mengenai Khilafah Islamiah ni ditulis oleh Ahmad Hashimi, 4 Ijtihad. Artikel ini mengisahkan tentang kerajaan-kerajaan Islam bermula selepas kewafatan Saidina Ali RA sehinggalah zaman moden kini, disertai pendapat-pendapat beliau. Saya telah mengedit artikel ini dan menambah pendapat-pendapat saya untuk menyesuaikan artikel ini dengan blog ini. Versi asal boleh didapati di Vibes. Teruskan membaca…



Setelah kematian Khalifah Ali RA yang dibunuh oleh pemberontak, Muawiyah bin Abi Sufian telah mengambil alih pemerintahan Islam yang berpusat di Damsyik. Dari situlah bermulanya institusi Khilafah yang menggunakan sistem monarki iaitu sistem pemerintahan mengikut keturunan. Hal ini disebabkan pengaruh Parsi dan Rom. Sebenarnya sistem monarki ini tidak digalakkan dalam Islam kerana mengutamakan satu puak atau keluarga untuk memerintah Ummah. Seharusnya, setiap puak layak diberikan peluang untuk memerintah Ummah.

Khilafah Bani Umaiyah ini tidak lama memerintah kerana ditentang Bani Abbasiyah. Akhirnya ia (Khilafah Bani Umaiyah) runtuh dan disambung pula pemerintahan Islam di Andalusia oleh Bani Abbasiyah. Pemerintahan Bani Abbasiyah telah membuka mata Eropah yang dilanda zaman kegelapan kerana orang Eropah tidak menghargai ilmu. Pemerintahan ini bertahan selama 508 tahun. Ini menunjukkan bahawa inilah kerajaan Islam yang kedua lama bertahan - selepas pemerintahan kerajaan Islam Uthmaniyah di Turki yang memerintah lebih kurang 625 tahun - dan memerintah satu pertiga dunia dan hampir satu dunia Islam selain Nusantara.

Pemerintahan Islam diteruskan oleh Khulafa' Bani Abbasiyah yang pengasasnya terdiri daripada salah satu daripada puak Abbasiyah. Gelaran yang dipakai juga ialah "Khalifah." Ada juga ulama' yang mengatakan pemerintahan Bani Abbasiyah ini merupakan puncak kegemilangan Islam-iaitu pada zaman Khalifah Harun Al-Rasyid dan anaknya, Khalifah Ma'mun. Akan tetapi, sebenarnya puncak kegemilangan Islam adalah pada zaman Rasulullah SAW sendiri. Jadi pendapat yang dikemukakan tersebut saya rasa salah. Pendapat tadi mungkin bersandarkan kepada - pada zaman Bani Abbasiah - wujudnya Baitul Hikmah (perpustakaan) yang terlalu banyak. Ini juga menyebabkan negeri tersebut (Baghdad) dilimpahi dengan ilmu.

Kerajaan Abbasiah jatuh pada tahun 1258 apabila ibu kotanya (Baghdad) diserang tentera Mongol. Banyak khazanah ilmu dicampak tentera Mongol ke dalam Sungai Euphrates. Umat Islam mula berpecah belah sehinggalah Uthman Ethregul menubuhkan kerajaan kecil di barat Anatolia, Turki dan menawan kerajaan-kerajaan lain di sekitarnya. Kerajaan ini telah menubuhkan satu zaman Khilafah yang seterusnya yang dipanggil Kerajaan Uthmaniah bersempena nama pengasasnya iaitu Uthman Ethregul.

Khilafah Uthmaniah mula gemilang semasa zaman pemerintahan Sultan Muhammad Al-Fateh yang menawan Constantinople, ibu negeri kerajaan Rom Timur yang juga dikenali sebagai Byzantine. Hal ini diikuti pula dengan perihal Sultan Sulaiman yang menawan hampir separuh benua Eropah. Perkara ini telah memaksa seluruh Eropah untuk bergabung menentang kerajaan Uthmaniah. Kegemilangan pemerintahan kerajaan Uthmaniah diteruskan dengan usaha sultan-sultan lain dalam usaha untuk menawan dan menyebarkan Islam ke seluruh dunia tetapi hanya berjaya menawan satu pertiga dunia sebelum kejatuhannya pada tahun 1924.

Kerajaan Uthmaniah mula lemah pada tahun 1700 apabila kalah dengan Russia dalam peperangan. Kerajaan Uthmaniah terpaksa memberi laluan kepada armada laut Russia untuk melalui selat yang sebelum ini dikuasai oleh Kerajaan Uthmaniah. Ini diikuti pula oleh peperangan kemerdekaan Greece pada tahun 1800-an. Hal ini telah menggalakkan lagi kuasa-kuasa Eropah untuk bangkit menentang kerajaan Uthmaniah. Tambahan pula, mereka sedang ber-revolusi ke arah kemajuan dan pemodenan. Tambahan pula, mereka telah menjadi negara industri.

Kuasa-kuasa Baratlah yang memulakan zaman moden dan memaksa setiap negara di dunia untuk mencontohi mereka dengan alasan bahawa jika setiap negara itu tidak mencontohi mereka, negara itu tidak akan moden, dan jika mereka tidak moden, maknanya mereka ketinggalan zaman. Ini merupakan fitnah dan ujian yang paling besar kepada orang Islam kerana keyakinan atau kepercayaan terhadap syariat Allah telah mula goyah dan mereka mula mengikut Barat sedikit demi sedikit dalam semua aspek dari segi pemodenan, hukum-hukum pemerintahan, dan juga akhlak peribadi. Orang-orang Islam mula kehilangan identiti dan jati diri mereka.

Berbalik kepada tajuk khilafah kita, kuasa-kuasa Barat mula mengambil semua tanah jajahan kerajaan Uthamniyah dengan alasan sebuah negara industri di samping tujuan mereka yang paling berbahaya iaitu memusnahkan institusi Khilafah-sebuah institusi yang bertanggungjawab memerintah dan menyatupadukan umat Islam. Dalam keadaan yang mendesak itu, kerajaan Uthmaniyah terpaksa melibatkan diri dalam perang dunia pertama untuk mengambil alih tempat-tempat yang pernah dikuasainya dengan menyertai Pakatan Paksi yang terdiri daripada negara Jerman dan sekutu-sekutunya.

Keadaan semakin teruk apabila Pakatan Paksi kalah dengan Tentera Bersekutu yang terdiri daripada Britain, Perancis, dan sekutunya. Hasil daripada itu, tentera bersekutu dapat memasuki Turki dan mereka telah membuat perjanjian dengan pemerintah Turki agar tidak menubuhkan semula institusi Khilafah dan membunuh sesiapa sahaja yang ingin menubuhkan institusi Khilafah. Mereka telah menyedari bahawa institusi inilah yang menyebabkan umat Islam bersatu dan menjadi kuasa besar dunia. Institusi inilah yang mengambil Al-Qur'an dan As-Sunnah sebagai pedoman mengejar akhirat. Dengan bersumberkan Al-Qur'an dan As-Sunnah, umat Islam menjadi kuat.

Dengan kekalahan kerajaan Uthmaniah, Barat mengambil kesempatan membuat umat Islam menghapuskan sistem Khilafah, meninggalkan syariat Allah, dan mengambil hukum-hukum Barat sebagai syarat kemerdekaan Turki. Pemimpin-pemimpin Turki yang mahukan kemajuan dan pemodenan setuju dengan syarat tersebut. Malah, mereka juga akan merdeka jika mengikuti syarat tersebut. Apa yang mereka lakukan benar-benar telah mengubah sejarah Islam dan orang Islam mula berpecah-belah dan mula mengasaskan negara mereka sendiri.

Inilah kegembiraan orang-orang Barat. Di samping menjadikan negara mereka sebagai model, kuasa-kuasa Kuffar juga pada masa yang sama membuli mereka sebagai membalas dendam terhadap kekalahan yang berturut-turut melawan kerajaan Islam dari zaman Khulafa' Ar-Rasyidin sehinggalah kerajaan Uthmaniyah. Dan tanggal 3 Mac 1924, mereka telah memusnahkan sistem Khilafah dan menggantikannya dengan sistem Republik.

Semenjak itu, orang Islam mula kehilangan identiti, dan yang paling menyedihkan, mereka sanggup menyerahkan diri mereka kepada Barat. Sekularisme (memisahkan agama daripada kehidupan), nasionalisme (semangat kebangsaan), patriotisme (semangat cintakan negara) dan -isme -isme yang lain sudah sebati dalam jiwa mereka. Mereka sedar semua ini tetapi mereka lebih mencintai Barat kerana Barat mengajak ke arah keseronokan yang melampau. Tanpa disedari, hati mereka membuat keputusan untuk berkiblatkan Barat. Bagi saya inilah fitnah yang paling besar dari zaman Nabi Adam hingga sekarang.

Ada yang cuba menubuhkan Khilafah tetapi berjaya dipatahkan Barat. Mereka yang menyokong Barat pula turut berkerjasama dalam mematahkan usaha ini. Mereka mengatakan bahawa orang Islam ialah pengganas. Mereka lupa bahawa satu-satunya kunci untuk menyelamatkan diri daripada api neraka ialah syariat Allah. Setiap Muslim sekarang sepatutnya ada rasa untuk menubuhkan semula Khilafah-bermula dengan perubahan dari hati. Sistem inilah yang menegakkan syariat Allah; dan syariat Allah merupakan satu-satunya kunci penyelamat daripada api neraka. Sesungguhnya neraka ialah mimpi paling ngeri buat manusia.

Paling tidak pun, patut ada rasa tak berpuas hati dengan pemerintahan berasaskan acuan Barat zaman sekarang dan ingin menegakkan semula Khilafah. Contoh yang paling dekat ialah negara kita sendiri, apakah pemimpin-pemimpin kita melaksanakan syariat Allah? Kalau orang-orang yang beriman yang terdahulu, terutamanya generasi al-Qur'an yang pertama hidup pada zaman ini, pasti dia lebih menghargai zaman hidupnya dahulu tanpa memikirkan rasa ingin tahu akan teknologi zaman sekarang kerana tidak mahu terlibat dengan maksiat yang boleh dikatakan tiap-tiap saat berlaku.

Wallahu a'lam.

Tiada ulasan: