Sabtu, Mac 8

Sebab-sebab Doa Tidak Dikabulkan

oleh: BroMuHSin

Assalamualaikum WBT. Tahiyyatun Tayyibatun Wa Ba'd.

Salah seorang Ulama’ Sufi yang termasyur, Ibrahim bin Adham namanya, pernah memberikan huraian tentang sebab-sebab doa seseorang itu tidak diperkenankan Allah.

Kata beliau:

1. Kamu tidak menunaikan hak-hak Allah.

“Kamu mengenal (mempercayai) adanya Allah, tetapi hak-haknya tidak kamu laksanakan.”

Hak Allah ialah untuk disembah, perintahnya ditaati, tegahnya dijauhi. Apabila seseorang hamba itu berbuat sebaliknya, maka bagaimana mungkin Allah akan memperkenan doanya?”

2. Kamu tidak mengamalkan isi Al-Quran.

“Kamu membaca Al-Quran, tetapi isinya tidak kamu amalkan.”

Al-Quran diturunkan bukan sekadar untuk dibaca dan dilagu-lagukan sahaja, tetapi ia untuk difahami isinya dan dihayati pengajarannya dalam segala bidang kehidupan.

3. Kamu tidak menjalankan Sunnah Rasulullah S.a.w.

“Kamu selalu mendakwa yang kamu cintakan adalah rasulullah, tetapi kamu tinggalkan sunnahnya.”

Meninggalkan sunnah bermakna meninggalkan cara hidup Nabi, yang bererti kita tidak mengikut apa yang Nabi buat atau apa yang digariskan oleh Nabi s.a.w. Sebaliknya amalan bid’ah pula yang dikerjakan. Jadi bagaimana Allah sudi mendengar doanya?

4. Kamu Patuh Kepada syaitan.

“ Kamu sentiasa menyatakan bermusuh dengan syaitan tetapi kamu patuhi dia.”

Syaitan itu adalah musuh ketat manusia, yang selalu berusaha agar manusia binasa dengan jalan mempengaruhi hawa nafsu mereka yang buruk.

Dalam pergelutan hidup sehari-hari, kebanyakan manusia memperturut kehendak hawa nafsunya yang jahat dan ini bererti syaitan telah menguasai hidupnya. Oleh itu, bagaimana Allah dapat mengabulkan doa orang yang hidupnya mengikut telunjuk syaitan.”

5. Kamu menerjunkan diri ke jurang neraka.

“ Kamu selalu berdoa supaya terhindar dari api neraka, tetapi kamu campakkan diri kamu ke dalamnya.”

Maksudnya ialah kebanyakan manusia ingin mendapat kebahagiaan, tetapi ia tidak mahu mengerjakan yang makruf, sebaliknya dia selalu bergelomang dengan perbuatan dosa dan maksiat.

6. Kamu ingin masuk syurga tetapi tidak beramal.

“ Kamu mendoakan agar masuk syurga tetapi kamu sendiri tidak beramal.”

Orang yang demikian tidak ubah laksana seorang yang ingin kaya tetapi tidak mahu berusaha, mahu menang tetapi tidak berjuang, mahu pandai tetapi malas belajar.”

7. Kamu sedar akan mati, tetapi tidak bersiap sedia.

“ kamu mengatakan bahawa kematian itu pasti datang, tetapi kamu tidak mempersiap diri menghadapinya.”

Ertinya kamu mengakui bahawa hidup di dunia ini hanya sementara sahaja, sedang hidup yang abadi ialah di akhirat kelak. Namun demikian kamu masih berleka-leka dengan dunia, sedangkan amal soleh yang menjadi anak kunci kehidupan akhirat tidak kamu kerjakan.

8. Kamu melihat cacat orang lain, cacat sendiri tidak nampak.

“ Kamu sibuk memikirkan aib dan kecacatan saudaramu tetapi aib sendiri kamu tidak nampak.”

Ibarat kata peribahasa kita “tuma di seberang lautan kelihatan, gajah di bawah pelupuk mata sendiri tidak nampak.”

9. Kamu mengecap nikmat, tetapi kamu tidak bersyukur.

“ Kamu makan nikmat Allah tetapi kamu tidak bersyukur atas kurniaan itu.”

Maksudnya, sejak kecil manusia memakan nikmat Allah dan beratus-ratus kurniaan yang lain, tetapi tidak berterima kasih. Malah kadang-kala membangkang pula dengan menunjukkan sikap bongkak dan lupa daratan.

10. Kamu menguburkan jenazah, tetapi tidak menyedari diri.

“ Kamu turut menguburkan orang yang mati, tetapi kamu tidak mengambil iktibar darinya.”

Ertinya, kalau ada orang yang meninggal dunia selalu kita tidak ketinggalan turut menghantar jenazah itu sampai ke perkuburan. Tetapi tidak mahu mengambil iktibar dari kejadian itu, bahawa apabila hari ini kita bersama menghantar orang ke kubur, mungkin besok lusa kita sendiri akan dihantar orang pula.





Wassalam WBT.

Tiada ulasan: