Sabtu, Mac 22

الحياء (Malu)

oleh: Ahmad Ilman


Al-Haya' dari segi bahasa bermaksud malu, maruah, kehormatan, dll; dan sebenarnya kalimah ini mendukung satu konsep yang besar. Haya' merujuk kepada sifat yang mendorong seseorang meninggalkan perkara-perkara yang buruk dan menghalangnya daripada mencuaikan orang lain. Dalam Islam, sifat haya' menghalang Mukmin daripada melakukan maksiat kepada Allah Maha Penguasa.


Kita boleh membahagikan haya' kepada dua: haya' yang baik dan haya' yang buruk. Haya' yang baik, yakni haya' yang dituntut Islam ialah haya' yang menghalang seseorang daripada melakukan kemungkaran. Seorang Mukmin/ah yang bersifat dengan haya' yang ini akan berasa malu sekiranya orang lain melihatnya bermaksiat kepada Allah SWT secara terang-terangan. Kemuncak haya' yang dituntut syarak ini ialah Mukmin tadi berasa malu kepada dirinya sendiri dan dia akan berasa amat bimbang dan bersalah sekiranya Allah SWT melihatnya melakukan maksiat. Hal ini kemudiannya akan menyebabkan si Mukmin tadi terlindung daripada segala jenis dosa dan maksiat yang tersembunyi di dalam hati, apatah lagi bermaksiat secara terang-terangan. Antara sifat yang mendatang daripada haya' yang diberkati ini ialah menahan pandangan, ringan tulang, tidak meninggikan suara serta tidak mencampuri urusan orang lain yang tidak kena-mengena.


Malangnya, ramai di antara kita remaja kini bersifat dengan haya' yang buruk -- haya' yang dibenci oleh syarak. Contoh haya' yang buruk ialah apabila seseorang itu malu mengikut Islam dan malu bersifat dengan akhlak-akhlak Islamiah. Betapa banyak manusia kini, termasuk di Malaysia ini yang lebih berbangga beridentitikan Barat -- berdandan dengan gaya rambut Barat, berpakaian cara Barat dan sebagainya -- daripada berasa bangga atau izzah (mulia) dengan cara hidup Islam yang dianuti. Kita sebagai Muslimin yang Mukminin harus bersyukur kerana kita telah dipilih oleh Allah untuk mendapat didikan Deen-Nya di sebuah sekolah Islam yang insya-Allah memberikan sukatan tarbiyah Islamiah yang tidak terperoleh di sekolah-sekolah kebangsaan mahupun SBP-SBP yang terkemuka. Penulis berasa agak kesal dengan sikap segelintir pelajar kita yang malu bersekolah di SMiK malah memburukkan nama sekolah di media global. Penyakit ini harus kita elakkan dan rasa izzah dengan sekolah harus kita tanamkan.


Sesungguhnya bersifat dengan haya' yang baik ini merupakan satu kemestian yang perlu dipateri pada hati setiap Muslim Mukmin. Sekiranya perasaan haya'/malu itu tidak menjadi pakaian kita, pelbagai penyakit akan datang dan berbagai-bagai masalah akan timbul. Masyarakat kita kini parah kerana kurangnya haya' dalam jiwa setiap individu masyarakat. Aurat dipamerkan di sana-sini. Baik lelaki akan lutut dan pusatnya ketika bermain bola di jalanan, mahupun perempuan akan suara dan seluruh tubuh mereka kecuali muka dan kedua-dua tapak tangan. Penyakit lain yang timbul akibat kurangnya sifat malu ini ialah suka bertutur kata-kata yang kesat dan carutan. Cacian kedengaran di mana-mana. Bunyi-bunyi sumbang seperti "bodoh" dan "babi" ialah norma kehidupan kini. Ketiadaan haya'lah yang membawa kepada gejala sosial yang negatif seperti pergaulan bebas, perzinaan, ketagihan rokok dan dadah, merempit, minum arak, dan sebagainya. Kesemua penyakit ini merupakan imej yang kelihatan dibanggakan oleh masyarakat "merdeka" dan "makmur" ini.


Haya' yang baik membawa banyak kebaikan dan kelebihan kepada individu, masyarakat, dan negara. Yang pertama ialah: Allah mencintai sifat haya'. Sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari:

"Tiada siapa yang lebih malu berbanding dengan Allah."

Kedua, sifat haya' itu merupakan lambang keagungan Islam sendiri sepertimana yang telah dijelaskan oleh baginda Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Abu Daud:


"Setiap cara hidup (Deen) ada karektornya yang tersendiri, dan karektor bagi Islam ialah haya'."

Ketiga, sifat haya' hanya membawa kebaikan, tidak membawa keburukan walau sedikit pun seperti yang dijelaskan oleh sabda Baginda SAW yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari. Keempat, sifat haya' merupakan petanda iman seseorang:

"Iman itu mempunyai lebih daripada 60 cabang, dan haya' itu satu cabang daripada iman." (HR Bukhari)

"Sifat haya' (malu) dan iman itu adalah seiringan. Apabila diangkat salah satu daripadanya, maka yang lain akan terangkat juga." (HR Baihaqi)

Kelima, sifat malu atau haya' ini akan mendapatkan kita mardhatillah serta syurga-Nya. Nabi Muhammad SAW berpesan yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari:


"Haya' itu datangnya daripada iman, dan iman membawa kita ke jannah."


Perkataan asal haya' itu datangnya daripada kalimah "hayah" yang bermaksud kehidupan (hayat). Maksudnya, sesiapa yang mempunyai haya' dalam dirinya, maka dia sedang menjalankan kehidupan Islam. Sekiranya dia tidak mempunyai haya', mereka kelihatan hidup di dunia ini tetapi sebenarnya mereka "mati" dari segi akhlak Islam. Hayati sabda junjungan:

"Malu dan amanah itu merupakan yang pertama hilang dari dunia ini. Oleh itu, sentiasalah meminta Allah untuk kedua-duanya." (HR Baihaqi)


Kesimpulannya, penulis berseru kepada semua warga sekolah terutamanya para pelajar sahabat sahibah yang dikasihi supaya menjadikan haya' (malu) dan taqwa itu pakaian kita. Bahkan, taqwa itu datangnya daripada iman, dan iman itu merupakan "sahabat karib" bagi haya'. Kepada sahabat, jagalah lidahmu daripada mengeluarkan kata-kata yang menjejaskan statusmu sebagai seorang Mukmin serta jagalah pandangan mata serta pandangan hatimu. Kepada sahibah, jagalah suaramu dan jagalah auratmu serta peliharalah kelebihan-kelebihan yang diberi Islam hanya kepada Mukminah sejati. Hiasilah diri kita dengan syakhsiah terpuji serta menjadi qudwah hasanah kepada orang lain di samping kita sendiri mengambil uswah hasanah yang terdapat dalam diri Rasulullah SAW. Ingatlah, akhlak yang mulia itu amat penting bagi seorang da'ie yang menyeru manusia kepada Allah SWT. Insya-Allah, suasana yang soleh, harmoni dan kondusif dapat diwujudkan di SMiK ini dan seterusnya menjadi pemangkin kepada kita menjalankan kewajipan dakwah yang tersandang di bahu kita semua. Wallahua'lam.

Tiada ulasan: